Pembangkang tak terima keputusan SC, kata Guan Eng kepada PM

Pembangkang tak terima keputusan SC, kata Guan Eng kepada PM

Setiausaha Agung DAP itu berkata pembangkang tidak menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti yang membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham.

Lim Guan Eng berkata pembangkang tidak akan menerima keputusan yang dibuat secara salah dan bertentangan dengan undang-undang.
PETALING JAYA:
Pembangkang tidak akan menerima keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) yang membersihkan nama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki daripada sebarang salah laku mengenai pemilikan saham korporatnya, tegas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, pembangkang harus menerima keputusan yang dibuat badan profesional seperti SC, dengan menambah bahawa pembangkang tidak boleh mengharapkan siasatan dijalankan “mengikut kehendak mereka”.

Mengulas perkara itu, Lim menggesa supaya “dihentikan percubaan tidak jujur kerajaan untuk menutup” isu yang menyelubungi Azam.

“DAP ingin mengingatkan Ismail bahawa pembangkang tidak akan menerima keputusan yang dibuat secara salah dan bertentangan dengan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Apabila Azam menzahirkan rasa terima kasih kerana SC telah membersihkannya daripada salah laku kerana membenarkan akaun dagangannya digunakan oleh adiknya untuk memperoleh berjuta-juta saham dalam syarikat tersenarai, ini jelas salah.

“Seperti mana-mana pasaran modal maju di dunia, Malaysia juga telah mengharamkan perdagangan saham secara proksi.”

Azam didakwa membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat tersenarai awam walaupun penjawat awam dihadkan untuk mempunyai pegangan ekuiti sebanyak RM100,000.

Beliau mempertahankan dirinya dengan mendakwa telah membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangan miliknya.

Bagaimanapun SC semalam berkata, “bukti bebas” yang dikumpul ketika inkuiri menunjukkan Azam adalah pemegang akaun yang dinamakan dan telah mengendalikan akaun yang dibukanya kerana beliau memberi arahan untuk membeli, menjual dan memindahkan sekuriti daripada akaun berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.