NGO mahu serah memorandum kepada Agong, gesa perlindungan alam sekitar lebih baik

NGO mahu serah memorandum kepada Agong, gesa perlindungan alam sekitar lebih baik

Desakan mereka termasuk supaya Putrajaya melaksanakan moratorium segera terhadap aktiviti pembalakan susulan banjir yang melanda negara baru-baru ini.

Kumpulan alam sekitar berkata, banjir yang melanda baru-baru ini mengetengahkan betapa pentingnya hutan dilindungi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
NGO alam sekitar dan kumpulan masyarakat sivil akan menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada Sabtu bagi menggesa tindakan segera diambil untuk melindungi alam sekitar susulan banjir besar yang melanda negara baru-baru ini.

Salah satu NGO terbabit, Protection of Natural Heritage of Malaysia (PEKA) berkata, ini termasuk menggesa Putrajaya mengenakan moratorium segera terhadap aktiviti pembalakan.

Presidennya Shariffa Sabrina Syed Akil memberitahu FMT, bencana banjir yang melanda mengetengahkan betapa pentingnya melindungi alam sekitar yang selama ini dilihat tidak diendahkan oleh kerajaan.

Katanya, Putrajaya lambat bertindak balas terhadap perubahan iklim, walaupun amaran data banyak dibangkitkan sejak bertahun-tahun lalu.

Shariffa Sabrina yang sebelum ini pernah menggesa pembalakan komersial diharamkan bagi menghalang kejadian banjir daripada berlaku berharap penyerahan memorandum di Istana Negara pada 4 petang itu akan mendesak kerajaan lebih memandang serius isu berkenaan.

Beliau turut berharap orang ramai hadir menyertainya sebagai tanda sokongan dengan berpakaian hitam, iaitu simbolik “masa depan yang semakin gelap” bagi generasi akan datang disebabkan kemusnahan berterusan alam sekitar.

“Jika kerajaan kita terus berdiam diri dalam keadaan kemusnahan ini diteruskan, anak-anak kita tidak akan mempunyai masa depan kelak,” katanya.

Menurutnya, pihaknya mengharapkan rakyat turut mendesak tindakan drastik diambil, seterusnya “mengurangkan, memperlahankan, menghentikan dan menterbalikkan” kesan pemanasan global serta perubahan iklim.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.