Lari daripada jagaan polis, ‘Long Tiger’ dipenjara 12 bulan

Lari daripada jagaan polis, ‘Long Tiger’ dipenjara 12 bulan

Tertuduh melarikan diri dari lokap mahkamah atas alasan mahu membuang air besar, dan telah meminta anggota polis ditugaskan membuka gari.

Lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’, dihukum penjara 12 bulan kerana melarikan diri daripada jagaan polis, bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang melarikan diri ketika menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Disember tahun lalu, dihukum penjara 12 bulan oleh mahkamah sama, hari ini.

Majistret Zaridah Y Abdul Jaapar, menjatuhi hukuman tersebut selepas tertuduh, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 33, mengaku bersalah, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Zaridah memerintahkan, supaya tertuduh menjalani hukuman berkenaan di Penjara Kluang, bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 Dis, menurut laporan Bernama.

Abdul Hamim didakwa sengaja melarikan diri daripada jagaan polis yang mana tertuduh telah ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan mengikut Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Mahkamah Majistret Tangkak kira-kira 11.55 pagi, pada 15 Dis 2021.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh didakwa melarikan diri dari lokap mahkamah atas alasan mahu membuang air besar, dan telah meminta anggota polis ditugaskan membuka gari.

Tertuduh kemudian mengambil kesempatan ketika melihat pintu sel tidak berkunci dan bertindak melarikan diri keluar dengan menghala ke pintu utama mahkamah.

Ketika melarikan diri, tertuduh juga dikejar beberapa anggota polis, namun berjaya lolos dengan bersembunyi di kawasan semak samun berhampiran mahkamah sebelum berjaya melarikan diri ke Sungai Petani, Kedah.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Qaiyum Rahman.

Sementara itu, tertuduh diwakili peguam Freda Josephine Gonzales dan Muhammad Hariz Md Yusoff.

Mahkamah turut menetapkan 14 dan 16 Feb ini untuk perbicaraan bagi kes lain iaitu Seksyen 388 kerana pemerasan, Seksyen 506 (ugutan bunuh) dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (kurungan yang salah).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.