
Ia susulan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang memberi komitmen untuk membantu Rohana Abdullah, wanita tidak bernegara yang dibesarkan oleh keluarga tempatan.
SUHAKAM berkata, Kementerian Dalam Negeri seharusnya tidak hanya memberikan tumpuan kepada kes-kes tertentu sebaliknya mengambil pendekatan menyeluruh untuk menangani semua isu melibatkan orang tak bernegara di negara ini.
Katanya, prosedur lebih telus perlu diamalkan untuk memudahkan permohonan kewarganegaraan bagi mengurangkan serta mengekang isu individu tiada kerakyatan di negara ini.
“Hak asasi dan maruah diri mereka dinafikan dan adalah menjadi kewajipan negara untuk mencari penyelesaian segera bagi merapatkan jurang ini demi kepentingan hak kanak-kanak.
“Pada masa ini, kanak-kanak yang terpisah daripada ibu bapa kandung dan dilahirkan luar nikah adalah yang paling terjejas dengan undang-undang kewarganegaraan di Malaysia.
“Meskipun peruntukan berhubung kewarganegaraan di Malaysia mematuhi prinsip jus sanguinis, kewarganegaraan ditentukan oleh bukti status perkahwinan yang sah ibu dan bapa kandung serta tempat kelahiran kanak-kanak tersebut,” katanya dalam kenyataan.
SUHAKAM menjelaskan di bawah Perkara 8(2) Konvensyen mengenai hak Kanak-kanak PBB (CRC), Malaysia harus mengembalikan segera identiti seorang kanak-kanak sekiranya sebahagian atau semua elemen identiti mereka dilucutkan secara tidak sah.
“Komuniti tak bernegara di Malaysia tidak dapat menikmati hak asasi seperti pendidikan, penjagaan kesihatan, pekerjaan, keselamatan sosial, kebebasan bergerak dan banyak lagi yang boleh menjurus kepada masalah sosial yang lebih serius.
“Jika tidak ditangani, kitaran individu tidak bernegara akan terus berpanjangan sehingga generasi akan datang,” katanya.
Baru-baru ini, media mendedahkan Rohana dibesarkan oleh keluarga Cina selepas ditinggalkan ibu kandungnya warga Indonesia dan bapa kandung rakyat tempatan sejak berusia dua bulan.