Beberapa kawasan di Ipoh dilanda banjir kilat

Beberapa kawasan di Ipoh dilanda banjir kilat

Hujan lebat berterusan sejak lewat petang menyebabkan kejadian banjir kilat terutama di Bercham, Ipoh.

Anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh (BBP) Ipoh dengan bantuan BBP Meru Jaya, digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat. (Gambar bomba)
PETALING JAYA:
Beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh dilanda banjir kilat, malam ini, susulan hujan lebat berterusan, sejak lewat petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 8.27 malam, berhubung bencana berkenaan melanda kawasan Bercham, Ipoh.

Beliau berkata sepasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dengan bantuan BBP Meru Jaya, digerakkan ke lokasi bagi membantu operasi menyelamat, dengan pasukan berkenaan diketuai Komander Operasi Mahmud Azaddin.

Katanya,paras air di kawasan terjejas dianggarkan setengah meter, dengan beberapa gambar dikongsikan memaparkan anggota bomba menggunakan bot kecil bagi menyelamatkan mangsa.

Dalam pada itu, Berita Harian melaporkan, banjir kilat turut berlaku di kawasan Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani, Tambun, Greentown, serta berhampiran Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Ipoh iaitu di Stadium Badminton.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.