
Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz berkata, ia mengambil kira pelaksanaan pelbagai bantuan di samping keperluan pembaikan rumah dan fasiliti awam yang terkesan akibat musibah banjir itu.
“Bagi memastikan segala bantuan ini diproses dan sampai ke tangan mangsa secepat mungkin Kementerian Kewangan amat responsif dalam menyalurkan peruntukan seawal 28 Dis.
“Setakat ini, kementerian telah pun menyalurkan peruntukan berjumlah RM300 juta untuk bencana banjir Monsun Timur Laut 2021/2022 di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Banjir Negara (KWABBN),” katanya di Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen ke-14.
Sementara itu Zafrul berkata, lebih RM125 juta sudah disalurkan kepada negeri yang terlibat banjir bagi menyelaras Bantuan Tunai Wang Ihsan (BWI) kepada ketua isi rumah (KIR) dan waris mangsa banjir.
“Sejak 27 Dis hingga kini, 75,000 KIR telah menerima sumbangan BWI dengan penyaluran berjumlah RM75 juta.
“Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 46 orang waris telah menerima bantuan sebanyak RM10,000,” katanya.
Mengulas mengenai bantuan yang disediakan beliau berkata, seramai 439 KIR dikenal pasti layak untuk menerima sumbangan bantuan tunai pembaikan kecil rumah sehingga RM5,000.
Manakala katanya, hampir 10,000 kediaman dikenal pasti layak menerima kemudahan baik pulih rumah bernilai antara RM5,000 hingga RM15,000 oleh kerajaan.
“Selanjutnya, 259 mangsa banjir pula setakat ini dikenal pasti memerlukan kemudahan bina baharu rumah kediaman mereka oleh kerajaan,” katanya.