Sekolah di Sandakan pula cetus kluster baharu di Sabah

Sekolah di Sandakan pula cetus kluster baharu di Sabah

Kes indeks kluster Jalan Pertukangan membabitkan seorang pelajar asrama di SMK Sandakan.

Masidi Manjun berkata, seorang pelajar asrama SMK Sandakan yang berusia 16 tahun mula bergejala pada 16 Jan lalu dan disahkan positif pada hari sama selepas menjalani ujian saringan Covid-19.
KOTA KINABALU:
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Masidi Manjun berkata, satu lagi kluster Covid-19 membabitkan institusi pendidikan dikesan di negeri itu.

Katanya, kluster Jalan Pertukangan di Sandakan membabitkan pelajar asrama di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sandakan.

“Kes indeks adalah seorang pelajar asrama berusia 16 tahun yang mula bergejala pada 16 Jan, seterusnya menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan disahkan positif pada hari sama.

“Saringan bagi mengesan kontak rapat kes telah dijalankan dan sehingga kini berjaya mengesan 72 lagi kes positif.

“Semua pesakit dalam Kategori 1 dan 2 sahaja dan telah diberikan rawatan yang sesuai,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, kluster baharu dikesan di dua sekolah, iaitu SMK Tambunan pada Sabtu lalu dan SMK Ranau semalam.

Dalam pada itu Masidi berkata, 242 kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini, meningkat 41 kes berbanding semalam.

Katanya, enam daerah mencatatkan kes dua angka dengan Sandakan mencatat 74 kes, Kota Kinabalu (33 kes) dan Tuaran (23 kes).

“Sebanyak 15 daerah mencatatkan kes satu angka dan enam daerah tidak merekodkan sebarang kes baharu.

“Daripada jumlah kes baharu yang dicatatkan hari ini, 238 kes daripadanya dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3, tiada kes Kategori 4 dan hanya seorang pesakit dalam Kategori 5.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.