
Kebanyakannya beranggapan pindaan yang dicadangkan itu tidak perlu.
“Walaupun kami lega rang undang-undang (RUU) akan disemak lebih lanjut, kami mencadangkan agar pindaan ini dikaji secara menyeluruh melalui rundingan dengan semua pemegang taruh,” katanya dalam kenyataan bersama.
Mereka berkata, penilaian impak kawal selia perlu dijalankan bagi merangka pindaan yang adil, kondusif dan perlu yang berkesan serta memenuhi objektif mencegah dan mengawal penularan penyakit berjangkit.
“Banyak pindaan yang dicadangkan tidak relevan dan tidak perlu, selain akan menghalang pemulihan ekonomi negara,” kata mereka.
Antara persatuan yang terbabit membuat kenyataan bersama ini ialah Persatuan Pengurusan Bangunan Malaysia, Pertubuhan Peruncit Bumiputera, Persatuan Rangkaian Runcit Malaysia dan Persatuan Pengurus REIT Malaysia.
Kata mereka, memandangkan kebanyakan orang telah menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19, banyak prosedur operasi standard (SOP) langkah berjaga-jaga seperti pengambilan suhu dan penjarakan fizikal semasa memakai pelitup muka boleh dimansuhkan.
Dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat Disember lepas, pindaan itu pada mulanya mencadangkan denda maksimum RM1 juta ke atas syarikat dan organisasi dan sehingga RM10,000 bagi individu yang melanggar SOP Covid-19, selain hukuman penjara.