
Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) berkata, himpunan itu akan diadakan pada 23 Jan ini di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), bermula jam 10 pagi.
“Dengan ini kami memohon agar rakyat dan kesemua pihak yang bersimpati juga dapat merasai Najib sebenarnya telah dianiaya, dizalimi, ditindas, dikasari, dikejami serta dinafikan hak dan keadilan supaya hadir beramai-ramai pada 23 Jan, 10 pagi hingga petang di Aras 4 Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL),” kata Pengerusinya, Syed Muhammad Imran S N Syed Abdul Aziz.
Beliau berkata, himpunan itu adalah untuk merasai denyut nadi dan luahan hati nurani rakyat yang kini sentiasa peka mengikuti perkembangan terkini, trend dan isu berkaitan Najib yang didakwa telah dianiaya.
Katanya, antaranya oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang “menahan bukti” yang boleh membebaskan Najib daripada semua pertuduhan mahkamah.
“Serta kebimbangan semasa rakyat mengenai kenaikan harga makanan, pengangguran yang semakin teruk, pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk kegunaan pasca Covid/banjir/hilang kerja dan perniagaan.
“Pengurusan masalah pascabanjir, suara rayuan dan rintihan rakyat dan banyak lagi,” katanya.
Pada 8 Dis lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara terhadap Najib berhubung penyelewengan dana SRC.
Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyelewengkan RM42 juta dana daripada anak syarikat bermasalah, 1MDB.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan Najib menangguhkan hukuman berkenaan sementara menunggu rayuan.