
Dalam kenyataan, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Jemaah Menteri juga perlu meminta Azam, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), bercuti sehingga persoalan sama ada beliau melanggar undang-undang dijawab oleh agensi penyiasat lain.
Lim berkata, ini termasuk Jawatankuasa Pilihan Parlimen Mengenai Agensi bawah Jabatan Perdana Menteri yang dijadualkan bermesyuarat hari ini untuk membincangkan isu itu.
Mesyuarat itu ditangguhkan kerana menurut Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, terdapat isu yang perlu dirujuk kepada Penasihat Undang-undang Parlimen.
“Hanya seorang yang dungu sahaja yang akan melihat kenyataan SC sebagai melepaskan Azam daripada sebarang kesalahan undang-undang dan merupakan satu pengisytiharan bahawa Azam tidak bersalah,” kata Lim.
“Sekiranya Kabinet tidak berbuat apa-apa, ini bermakna Kabinet bersetuju dengan pemikiran yang mengatakan kenyataan SC telah membebaskan Azam sebagai tidak bersalah.
“Rakyat Malaysia berhak untuk menganggap Jemaah Menteri sedia ada terdiri daripada menteri-menteri dengan standard intelek yang rendah dan juga merupakan Jemaah Menteri terburuk dalam sejarah negara.”
SC semalam berkata, siasatannya ke atas Azam telah selesai dan berdasarkan keterangan yang diperoleh, ia tidak dapat “memastikan secara konklusif” sama ada beliau telah melanggar Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).
Seksyen 25(4) SICDA memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.
Azam didakwa membeli berjuta-juta saham dan waran dalam syarikat senaraian awam dengan nilai melebihi had RM100,000 ke atas pegangan ekuiti oleh penjawat awam.
Beliau menafikan sebarang salah laku dengan menyatakan adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham dalam syarikat senaraian awam.