Selepas 35 tahun, orang kuat DAP P Pinang tinggalkan parti

Selepas 35 tahun, orang kuat DAP P Pinang tinggalkan parti

Bekas Exco dan ADUN itu menghantar surat peletakan jawatannya pagi tadi.

Danny Law (berdiri, dua dari kiri) ketika Konvensyen DAP Pulau Pinang pada 2018.
PETALING JAYA:
Bekas orang kuat DAP, Danny Law Heng Kiang meninggalkan parti itu selepas 35 tahun untuk mencari “haluan baharu”.

Perkara itu diumumkan DAP dalam kenyataan pagi tadi sekali gus mengucapkan selamat tinggal kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tiga penggal itu.

Setiausaha DAP negeri, Lim Hui Ying berkata, Law menghantar surat peletakan jawatannya pagi tadi dan parti menghormati pendiriannya serta mengucapkan terima kasih atas sumbangannya.

Law, 60, dalam komen ringkas kepada FMT berkata, sumbangannya kepada DAP selama 35 tahun sudah memadai dan kini beliau mengintai matlamat lain.

Danny Law Heng Kiang.

Bekas ADUN Batu Lanchang itu paling diingati sebagai “Long Ranger” kerana merupakan satu-satunya wakil rakyat DAP selepas pilihan raya umum (PRU) 1999 apabila partinya tewas 13 daripada 14 kerusi yang ditandingi.

Pada PRU 2004, Law tewas kepada calon Gerakan, Ng Fook On dengan hanya 147 undi majoriti, tetapi berjaya merampas kembali kerusi itu pada 2008 dan 2013 dengan majoriti lebih besar.

Beliau menang dengan majoriti 15,364 undi dalam pertembungan satu lawan satu dengan calon Gerakan, Lee Boon Ten pada 2013, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 6,745 undi majoriti yang diraih pada 2008.

Law adalah bekas Exco Pelancongan Pulau Pinang selama dua penggal bermula 2008, tetapi digugurkan daripada senarai calon PRU 2018.

Bekas pegawai United Malayan Banking Corporation selama 20 tahun itu menyertai DAP Pulau Pinang pada 1986.

Beliau memegang banyak jawatan dalam DAP Pulau Pinang, termasuk Setiausaha Organisasi, Penolong Bendahari dan Setiausaha Negeri sebelum parti itu mengambil alih Pulau Pinang pada 2008.

Dalam pemilihan parti peringkat negeri tahun lalu, beliau gagal tersenarai dalam kelompok 15 calon teratas untuk menjadi jawatankuasa negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.