Sekolah berasrama di Kedah ditutup, 33 pelajar positif Covid-19

Sekolah berasrama di Kedah ditutup, 33 pelajar positif Covid-19

Sekolah itu ditutup sejak semalam sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

Kes indeks Kluster Dah Jalan Pantai membabitkan seorang pelajar sekolah menengah berasrama di Sungai Petani yang disahkan positif pada 14 Jan lalu. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Sebuah sekolah menengah berasrama di Sungai Petani, Kedah ditutup selepas 33 pelajarnya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Dr Othman Warijo berkata, kes indeks Kluster Dah Jalan Pantai membabitkan seorang pelajar sekolah itu yang disahkan positif pada 14 Jan lalu.

Setakat ini, katanya, 61 pelajar disaring dengan 33 daripadanya didapati positif Covid-19.

“Semua yang positif Covid-19 telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) di Jitra dan Kulim, manakala kontak rapat menjalani kuarantin di asrama sekolah tersebut.

“Semua kontak rapat diarahkan menjalani kuarantin, selain dinasihatkan menjalani saringan sekiranya mengalami gejala dalam tempoh itu,” katanya dipetik Utusan Malaysia.

Beliau berkata, sekolah itu ditutup sejak semalam sehingga ke suatu tarikh yang akan ditentukan kelak.

“Tarikh pembukaan semula sekolah terbabit bergantung kepada perkembangan selanjutnya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.