RFID: PLUS ganda pasukan bantu pelanggan di plaza tol

RFID: PLUS ganda pasukan bantu pelanggan di plaza tol

PLUS berkata pihaknya juga telah meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

Pengguna jalan raya sebelum ini dilaporkan meluahkan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di beberapa plaza tol, dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID untuk mengesan tag yang dipasang pengguna. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menggandakan pasukan petugasnya di plaza tol untuk membantu melicinkan pergerakan pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang beralih menggunakan sistem Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

PLUS dalam kenyataan memaklumkan pihaknya juga meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

“Pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID tidak perlu risau kerana kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

“Sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan. Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini media melaporkan pengguna jalan raya meluahkan kekecewaan selepas terperangkap dalam kesesakan di beberapa plaza tol dipercayai berikutan kegagalan sistem RFID untuk mengesan tag yang dipasang pengguna.

Sementara itu, dalam kenyataan sama PLUS memaklumkan pelaksanaan RFID sejak 15 Jan lalu mencatatkan kadar migrasi yang menggalakkan, iaitu sebanyak 10% transaksi di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu.

PLUS turut berharap peningkatan peralihan kepada pembayaran tol menerusi RFID yang sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh dan e-Dompet akan membawa pengalaman perjalanan lebih lancar kepada pengguna.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.