Dakwaan hakim ‘berbogel’: Menteri Agama perlu selesai segera polemik perpecahan dalaman

Dakwaan hakim ‘berbogel’: Menteri Agama perlu selesai segera polemik perpecahan dalaman

Perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi syariah berhubung isu itu sudah lama berlarutan, namun tiada tindakan, kata Persatuan Peguam Muslim Malaysia.

Menteri Agama sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia perlu menyelesaikan polemik dengan segera, menurut Zainul Rijal Abu Bakar.
PETALING JAYA:
Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad memandang serius perpecahan dalam kalangan kepimpinan tertinggi kehakiman syariah berhubung dakwaan seorang hakim kanan terbabit dalam kes gangguan seksual.

Presidennya, Zainul Rijal Abu Bakar berkata, perpecahan yang terserlah melalui polemik berbalas kenyataan di media itu sudah lama berlarutan, namun tiada tindakan diambil oleh kerajaan.

“PPMM mencadangkan agar Menteri Agama memandang serius untuk menyelesaikan polemik perpecahan dalaman ini.

“Menteri Agama sebagai menteri bertanggungjawab ke atas Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia perlu menyelesaikan polemik ini sesegera mungkin supaya jabatan ini tidak mengalami defisit kepercayaan dalam kalangan orang awam sebagaimana dialami beberapa institusi lain,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, Zainul berkata, hakim yang berwibawa dalam kalangan mediator bertauliah yang bukan terdiri dalam kalangan pengamal undang-undang dan kehakiman wajar dilantik untuk memudahkan perjalanan perbincangan semua pihak.

Beliau menggesa semua pihak dalam institusi kehakiman syariah tidak menggunakan media bagi menegakkan pendirian masing-masing, sebaliknya kembali ke meja rundingan untuk berbincang demi memelihara integriti, kewibawaan dan maruah institusi itu.

Pada 13 Januari, polis dilaporkan dalam proses merakam percakapan lima saksi berhubung kes seorang hakim kanan yang didakwa “berbogel” di bilik tidur seorang wanita yang sudah bersuami.

Media sebelum ini melaporkan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Lokman Noor Adam, memuat naik video mendakwa hakim terbabit dalam kes gangguan seksual membabitkan seorang wanita.

Susulan itu, Persatuan Peguam Syariah Malaysia (PPSM) mengeluarkan beberapa pandangan berbeza dengan Presidennya, Ibrahim Deris mencadangkan beliau direhatkan bagi memudahkan siasatan.

Bagaimanapun Timbalan Presidennya, Muhammad Yusro Borhan Nordin menafikan kenyataan akhbar dikeluarkan presiden persatuan itu dibuat secara kolektif kerana ia tidak pernah dibincangkan sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.