Buang ‘zombi’, kami tak mahu anggota, pegawai terjebak dadah, kata KP Pahang

Buang ‘zombi’, kami tak mahu anggota, pegawai terjebak dadah, kata KP Pahang

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata antara sebab anggota dan pegawai dibuang kerja adalah terbabit dadah, jenayah dan rasuah.

Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai 23 anggota dan pegawai polis di negeri itu dibuang selepas terbabit pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun sejak 2020. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Seramai 23 anggota dan pegawai polis negeri dibuang selepas terbabit pelbagai kesalahan dalam tempoh dua tahun sejak 2020, kata Ketua Polis Pahang Ramli Mohamed Yoosuf.

Beliau berkata, sebanyak 14 kes direkodkan tahun lalu manakala sembilan pada 2020 dengan penyalahgunaan dadah merupakan kesalahan tertinggi, selain kes jenayah dan rasuah.

“Angka ini sangat membimbangkan, saya tidak boleh terima pegawai polis yang menagih dadah kerana ini adalah sesuatu yang sangat malang. Penyalahgunaan dadah dalam kalangan polis akan meruntuhkan institusi keramat ini.

“Kami tidak mahu polis Pahang mempunyai ‘zombi’ yang bukan sahaja menyusahkan penyelia dan rakan sekerja mereka, bahkan keluarga dan masyarakat keseluruhan. Implikasi dadah memang kita ketahui amat buruk, risikonya bukan sahaja kepada diri malah kepada mereka yang terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang Mohd Yusri Hassan Basri.

Ramli berkata, tindakan buang kerja itu diharap dapat dijadikan pengajaran dan peringatan kepada anggota serta pegawai lain yang sedang dalam perkhidmatan supaya tidak terlibat dengan sebarang bentuk kesalahan yang memberi kesan negatif pada diri sendiri dan pasukan polis.

Sementara itu, Ramli memaklumkan 1,266 kertas siasatan pelbagai kesalahan jenayah komersial berjaya diselesaikan dan bagi kes narkotik seramai 1,101 pembekal serta 2,687 pemilik dadah ditangkap, tahun lalu.

“Beberapa sindiket melibatkan kes jenayah komersial dan dadah turut ditumpaskan, namun kami tidak boleh berpuas hati begitu sahaja, tahun ini kami akan giatkan lagi terutama dalam aspek pencegahan jenayah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, lebih 300 warga IPK Pahang terkesan kejadian banjir telah diberikan bantuan sewajarnya.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada 30 warga IPK Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.