
Menurut laporan Sinar Harian, mayat pertama dan kedua dinaikkan di jeti itu kira-kira 2.35 petang, baki empat mayat terakhir pula dibawa naik kira-kira 3.04 petang manakala seorang lagi mangsa ditemui selamat.
Mangsa yang selamat ialah seorang wanita yang kemudiannya dibawa pasukan mencari dan menyelamat ke jeti Persatuan Nelayan Pontian Besar, kira-kira 2.30 petang menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).
Wanita itu dilihat menangis setibanya di jeti berkenaan sebelum dibawa ke ambulans yang menanti untuk memberikan rawatan lanjut.
Sebelum itu, tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) dikhuatiri lemas, manakala enam lagi ditemui selamat oleh nelayan tempatan selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik dan karam di perairan Pulau Pisang.
Pengarah Maritim Johor, Nurul Hizam Zakaria dalam kenyataan sebelum ini berkata, enam mangsa terbabit diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan di kedudukan 0.3 barat daya Pontian Besar.
“Berdasarkan maklumat awal mangsa terselamat, bot yang membawa lebih kurang 13 penumpang termasuk tekong karam itu dipukul ombak kuat semasa cuba memasuki negara ini,” katanya.
Nurul Hizam berkata, enam mangsa yang selamat dibawa ke Hospital Pontian untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, Maritim Malaysia telah mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat pada 10.20 pagi tadi dan mengatur gerak sebuah pesawat AW139 dan bot KILAT 12 bagi mengesan dan mencari baki mangsa yang hilang.