Tiada masalah pekerja hotel TH pakai kopiah, songkok, kata menteri

Tiada masalah pekerja hotel TH pakai kopiah, songkok, kata menteri

Idris Ahmad sudah mendapatkan maklum balas daripada CEO Lembaga TH berhubung satu surat menyatakan larangan pekerja Tabung Haji Hotel Kelana Jaya memakai songkok dan kopiah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad meminta CEO TH segera selesaikan isu surat larangan pekerja THKJ memakai songkok dan kopiah.
PETALING JAYA:
Tidak menjadi masalah untuk pekerja Tabung Haji Hotel Kelana Jaya (THKJ) memakai songkok atau kopiah ketika bertugas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Idris dalam kenyataan di Facebook berkata, beliau sudah mendapatkan maklum balas daripada CEO Lembaga Tabung Haji (TH) Amrin Awaluddin berhubung satu surat menyatakan pekerja THKJ dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas.

“Lepas balik daripada solat Isyak, dapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH Amrin. Ini respons daripada CEO kepada saya: ‘Memo dikeluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas’.

“Tiada masalah sebenarnya, asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutupi aurat, seragam,” katanya.

Katanya, beliau juga meminta CEO TH segera menyelesaikan isu berkenaan.

Berdasarkan surat ditujukan kepada pekerja THKJ itu, ia memperincikan etika pemakaian yang harus dipatuhi pekerja bawah perkara “pemakaian ketika bertugas”.

“Adalah dimaklumkan bahawa semua anggota THKJ diminta untuk berpakaian kemas termasuk pemakaian kasut yang bertutup dan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas.

“Anggota juga diminta untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas kecuali ketika ingin menunaikan solat,” menurut surat itu.

Surat itu ditandatangani Pengurus THKJ Mohamad Nazrul Nazib Nasihin dan turut dikongsi Idris di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.