Isu royalti minyak Kelantan terus jadi pertikaian

Isu royalti minyak Kelantan terus jadi pertikaian

Kerajaan persekutuan enggan membayar royalti minyak kepada Kelantan bagi minyak yang diekstrak di luar pesisirnya, namun timbul dakwaan mengenai amalan pilih kasih.

Kelantan tidak menerima royalti bagi minyak yang diekstrak di luar pesisirnya tetapi kerajaan persekutuan membayar RM400 juta kepada kerajaan negeri pada 2020 dan 2021. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perbalahan mengenai royalti minyak Kelantan kini dihidupkan kembali oleh mereka yang mendakwa hak negeri itu dirampas secara tidak adil dan ini menjejaskan pembangunan negeri.

Kerajaan Kelantan dan aktivis yang bersetuju dengan pandangan itu telah menuntut royalti minyak selama beberapa dekad tetapi ditolak berulang kali oleh Putrajaya atas alasan minyak diekstrak di luar perairan wilayah Kelantan.

Bagaimanapun, Putrajaya memberi wang ehsan kepada negeri itu berjumlah RM15.7 juta pada 2019. Selain itu, kerajaan pusat membayar RM400 juta kepada kerajaan Kelantan bagi tahun 2020 dan 2021 berdasarkan kadar 5% hasil petroleum yang diperolehi daripada negeri itu.

Sejak itu Kelantan cuba menuntut bayaran royalti yang tertunggak sejak 2005, selaras dengan royalti 5% yang dipersetujui dalam perjanjian pada 1970-an.

FMT menyelami isu ini dengan lebih mendalam.

Pilih kasih

Pada asasnya, perbalahan mengenai royalti minyak Kelantan berkisar tentang pertikaian mengenai sempadan laut dan amalan pilih kasih.

Bawah Ordinan Darurat 1969, semua perairan lebih tiga batu nautika dari pantai mana-mana negeri Malaysia berada bawah kawalan persekutuan. Putrajaya berkata, ia tidak akan membayar royalti jika minyak diekstrak di perairan lebih tiga batu nautika.

Ini sangat berbeza dengan perjanjian syarikat minyak nasional Petronas dengan semua 13 negeri pada 1975 yang menyatakan ia akan membayar royalti 5% kepada negeri-negeri jika minyak ditemui di dalam atau luar pesisirnya.

Perjanjian itu tidak menyatakan sejauh mana minyak diekstrak di luar pesisir bagi memenuhi syarat untuk menerima royalti.

Minyak Kelantan ditemui kira-kira 80 batu nautika (kira-kira 150km) dari pantainya di kawasan yang bertindih dengan perairan Terengganu di selatan dan perairan Thailand di utara.

Tengku Razaleigh Hamzah.

Mereka yang menuntut royalti minyak Kelantan mendakwa wujud amalan pilih kasih dengan merujuk kepada jirannya, Terengganu yang mendapat royalti 5% walaupun telaga minyak terletak 220km dari pantainya.

Bayaran kepada Terengganu dihentikan apabila PAS mengambil alih negeri itu dan dipulihkan pada 2009 apabila Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa.

Terengganu menerima royalti minyak berjumlah lebih RM1 bilion pada 2018 tetapi jumlah itu dipotong sebanyak 25% untuk membayar balik hutang persekutuan bagi projek infrastruktur.

Menurut jawapan di Parlimen, Terengganu menerima bayaran berjumlah RM22.4 bilion dari 2008 hingga Ogos 2020.

Pada 2010, Kelantan menuntut royalti minyak daripada Petronas tetapi negeri itu menggugurkan kesnya pada 2019 selepas sembilan tahun mempertahankannya. Mahkamah juga memutuskan bahawa Kelantan tidak boleh menyaman Petronas atau kerajaan persekutuan lagi.

Pengerusi pengasas Petronas, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, amalan semasa, iaitu memberi kepada Kelantan wang ehsan berbanding royalti tidak pernah menjadi sebahagian daripada perjanjian dengan negeri-negeri pada pertengahan 1970-an.

Pemberian wang ehsan bermula semasa Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri katanya, dan Petronas bertanggungjawab membayar royalti 5% kepada setiap negeri sebagai pertukaran bagi hak minyak dan gas.

‘Alasan pincang’

Zaid Ibrahim.

Ahli politik dan peguam, Zaid Ibrahim berkata, alasan Putrajaya bahawa Kelantan tidak layak menerima royalti kerana telaga minyak berada di luar sempadannya adalah “pincang dan tidak berasas”.

Katanya, satu lagi perkara yang dipertikaikan oleh kerajaan pusat adalah telaga minyak itu lebih dekat dengan Terengganu berbanding Kelantan dan alasan itu juga tidak wajar.

Zaid berkata, keengganan Putrajaya membayar royalti 5% kepada negeri-negeri yang layak menerimanya “bermotifkan politik dan tidak dapat dipertahankan”.

Beliau berkata, Kelantan patut dibayar tunggakan RM20 bilion dan royalti tahunan 5% kepada negeri itu patut dibayar segera.

“Sabah dan Sarawak dilayan sebagai negeri yang berdaulat sebelum menyertai Malaysia,” katanya.

“Begitu juga negeri-negeri Melayu seperti Kelantan yang juga negeri berdaulat sebelum membentuk Persekutuan Tanah Melayu, iaitu pelopor kepada persekutuan Malaysia dengan kemasukan Sabah, Sarawak dan Singapura pada 1963.

“Sebagai negeri berdaulat, negeri komponen persekutuan berhak sepenuhnya ke atas semua galian, kayu balak, petroleum dan perikanan yang terdapat dalam wilayah masing-masing di dalam atau di luar pesisir.”

Difahamkan Zaid bersama rakyat Kelantan yang sehaluan dengannya akan bertanding pada pilihan raya umum (PRU) akan datang bagi meneruskan tuntutan mereka ke atas royalti minyak yang patut dibayar kepada negeri itu.

Petronas menyatakan bahawa ia membuat bayaran tunai yang relevan untuk kepentingan Kelantan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kewangan dengan pendedahan penuh kepada Parlimen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.