
Beliau berkata, nilai itu meliputi kerosakan:
• Tempat kediaman RM1.2 bilion hingga RM1.4 bilion;
• Premis perniagaan RM500 juta hingga RM600 juta;
• Kenderaan RM1.0 bilion hingga RM1.3 bilion;
• Pertanian RM40.9 juta hingga RM49.9 juta;
• Pembuatan RM800 juta hingga RM1.0 bilion; dan
• Aset awam & infrastruktur RM2.0 bilion.
“Dalam merasai dugaan yang dihadapi ini, kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah mengambil inisiatif menyediakan kajian menyeluruh impak banjir yang berlaku di negeri-negeri yang terkesan banjir,” katanya ketika berucap pada majlis pelaksanaan survei pendapatan dan perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas.
Banjir yang melanda beberapa negeri di Semenanjung pada penghujung Dis lalu meragut beberapa nyawa dan menyebabkan kemusnahan serta kerosakan harta benda. Beribu-ribu mangsa telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), kerja pembersihan di enam negeri telah mencapai 98.17% keseluruhan siap di bawah fasa pertama. Hanya dua negeri – Negeri Sembilan dan Melaka – telah mencapai 100% setakat semalam.
Sementara itu, Mustapa berkata survei pendapatan isi rumah atau HIS yang pertama telah dilaksanakan pada 1973 bagi mengukur pendapatan dan kemiskinan rakyat di Semenanjung Malaysia dan pada 1980 ia diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.
“Survei ini mula dijalankan serentak bersama Survei Perbelanjaan Isi Rumah bermula pada tahun 2014/15 dan diadakan dua kali setiap lima tahun.
“Tahun ini adalah survei yang ke-20 dan ia dijalankan bermula pada Jan hingga Dis 2022,” tambah beliau.
