7 termasuk pemilik klinik ditahan tawar sijil vaksin tanpa suntikan

7 termasuk pemilik klinik ditahan tawar sijil vaksin tanpa suntikan

Semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun ditahan minggu lalu.

Siasatan polis mendapati terdapat 5,601 pesakit didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti jumlah didaftarkan tanpa menerima suntikan.
PETALING JAYA:
Sebuah klinik swasta yang mendapat kebenaran untuk melaksanakan suntikan vaksin diserbu dan polis menahan tujuh individu termasuk pemiliknya selepas didakwa mengeluarkan sijil vaksinasi Covid-19 kepada pelanggan tanpa perlu disuntik.

Penahanan itu dibuat selepas polis mengesan melalui pesanan ringkas yang tular di aplikasi WhatsApp bahawa ia menawarkan khidmat pendaftaran vaksinasi dalam MySejahtera.

Ketua Polis Selangor, Arjunaidi Mohamed berkata, semua suspek termasuk tiga wanita berusia 20 hingga 35 tahun ditahan minggu lalu dalam serbuan di klinik berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati klinik itu mendapat kebenaran Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan suntikan vaksin Covid-19.

“Kumpulan ini menyasarkan golongan antivaksin atau yang tidak mahu mendapatkan suntikan vaksin dengan klinik akan mengenakan bayaran RM500 bagi membolehkan mereka mendapatkan sijil digital MySejahtera tanpa perlu disuntik vaksin.

“Bagi pelanggan yang tidak mahu disuntik, klinik ini akan membuang vaksin itu dan memulangkan botol kepada KKM sebagai tanda ia sudah digunakan.

“Pemeriksaan ke atas komputer riba yang dirampas mendapati terdapat 5,601 pesakit sudah didaftarkan sebagai penerima vaksinasi ke dalam sistem MySejahtera dan siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti jumlah didaftarkan tanpa menerima suntikan,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, pada peringkat awal klinik yang beroperasi sejak tiga bulan lalu itu mengenakan bayaran sehingga RM3,000 bagi setiap pelanggan, bagaimanapun ia diturunkan kepada RM500 berikutan persaingan daripada klinik lain.

“Polis kini sedang mengesan klinik lain yang turut melaksanakan pengeluaran sijil digital vaksin tanpa suntikan dan kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.