Umno mungkin akan bertanding di Bugaya jika PRK diadakan, kata Bung

Umno mungkin akan bertanding di Bugaya jika PRK diadakan, kata Bung

Ketua Umno Sabah itu berkata, pertimbangan untuk bertanding di situ akan mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari segi sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

Bung Moktar Radin mengakui pengaruh Presiden Warisan Shafie Apdal masih kuat di Bugaya, namun situasi politik sekarang dilihat semakin berpihak kepada BN. (Gambar Bernama)
SEMPORNA:
Umno Sabah sedia mempertimbangkan untuk meletakkan calonnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya sekiranya pilihan raya kecil (PRK) diadakan di kawasan itu dalam tempoh terdekat, kata Ketuanya Bung Moktar Radin.

Beliau berkata, pertimbangan itu akan mengambil kira beberapa aspek terutamanya dari segi sokongan rakyat di kawasan berkenaan.

“Pada pilihanraya negeri (PRN) lepas, kita tidak meletakkan calon untuk bertanding dan ia diwakili calon dari Bersatu, Daud Tampokon.

“Bagaimanapun beliau tewas di tangan Warisan yang diwakili ketika itu oleh Manis Muka Mohd Darah,” katanya dalam kenyataan selepas mengadakan perjumpaan dengan kepimpinan Umno Semporna di pejabat parti bahagian itu.

Bung berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kemungkinan akan mengadakan PRK di Bugaya dalam masa terdekat berikutan perkembangan Covid-19 yang semakin menurun di negara ini.

Katanya, beliau akui pengaruh Presiden Warisan Shafie Apdal masih kuat di Bugaya namun situasi politik sekarang dilihat semakin berpihak kepada BN.

“Ini dibuktikan dalam beberapa siri PRK dan terkini kemenangan bergaya BN semasa PRN Melaka, baru-baru ini,” katanya.

Pada PRN lalu, Manis Muka mempertahankan kerusi DUN Bugaya selepas menewaskan enam pencabar lain dengan majoriti sebanyak 6,005 undi.

Bagaimanapun, DUN Bugaya diisytiharkan kosong selepas Manis Muka meninggal dunia pada 17 Nov lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.