Tawaran datang macam angin, tapi saya tetap setia dengan Bersatu, kata Santhara

Tawaran datang macam angin, tapi saya tetap setia dengan Bersatu, kata Santhara

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu berkata fokus ketika ini adalah mengukuhkan Sayap Bersekutu Bersatu yang diterajuinya

Edmund Santhara Kumar berkata, beliau akan memperkukuh sayap Bersekutu bagi menghormati kepercayaan yang telah diberikan kepadanya.
KUALA LUMPUR:
Ketua Sayap Bersekutu Bersatu, Edmund Santhara Kumar mengakui menerima pelbagai tawaran daripada parti lain menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Segamat itu menegaskan beliau tidak ambil peduli dengan tawaran yang diterima, sebaliknya mahu terus setia bersama Bersatu dan mengukuhkan sayap Bersekutu yang diterajuinya.

“Tawaran datang macam angin, dari macam-macam parti, tapi kita tak nak layan.

“Saya ambil pendirian untuk terus setia dengan Presiden (Muhyiddin Yassin) dan memperkukuh sayap Bersekutu bagi menghormati kepercayaan yang telah diberikan kepada saya,” katanya kepada FMT dalam satu acara Pesta Pongal 2022 anjuran Sayap Bersekutu Bahagian Batu di sini. Turut hadir, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Bersatu, S Gobi Krishnan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya itu mengulas pertanyaan sama ada mendapat tawaran daripada parti baharu, Parti Bangsa Malaysia untuk beliau menyertainya.

PBM didaftarkan secara rasmi oleh ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien pada 27 Okt lalu. Larry yang juga Presiden PBM memaklumkan parti itu dilahirkan selepas penjenamaan semula Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang ditubuhkan bapanya, Sng Chee Hua pada 2012.

Bekas ADUN PKR, Haniza Mohamed Talha pula dilantik sebagai Timbalan Presiden I.

Mengulas mengenai keanggotaan sayap Bersekutu setakat ini, Santhara berkata, penerimaan pengundi bukan Bumiputera terhadap Bersatu semakin meningkat apabila merekodkan lebih 30,000 ahli aktif di seluruh negara.

“Baru-baru ini kita terima (permohonan) hampir 1,000 ahli DAP di Johor nak masuk Bersekutu Bersatu… kalau ahli DAP pun dah mula nak masuk Bersatu, itu adalah bukti bahawa kita bawa pemikiran baru,” katanya sambil menyatakan keyakinan keahlian sayap Bersekutu akan melepasi 50,000 orang dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Jelasnya, terdapat usaha cuba dibawa oleh Presiden Umno pertama, Onn Jaafar untuk menubuhkan satu parti untuk semua kaum pada ketika itu tidak berjaya, namun ia berjaya direalisasikan oleh Bersatu yang dipimpin Muhyiddin ketika ini.

“Kita dapati sejarah dulu di mana Onn Jaafar nak semua kaum duduk dalam satu parti dan masa itu tidak berjaya (maka) wujudlah parti-parti berasaskan kaum.

“Ketika semua parti bernaung di bawah gagasan Perikatan Nasional dan diubah kepada Barisan Nasional. Masa itu rakyat kita belum bersedia lagi tetapi Presiden kami, begitu berani melihat kembali apa yang berlaku masa tu, yang belum bersedia (terima parti pelbagai kaum) dan cuba menghidupkan kembali parti pelbagai kaum dengan mewujudkan sayap Bersekutu,” katanya.

Santhara dilantik sebagai ketua Sayap Bersekutu pertama parti itu pada September tahun lalu.

Pada Ogos 2020, Santhara yang juga bekas ahli PKR menjadi Ahli Parlimen bukan Bumiputera pertama menyertai Bersatu.

Kemudian pada persidangan agung tahunan pada November tahun sama, Bersatu mewujudkan sayap parti untuk anggota bukan Bumiputera dan bukan Melayu, yang dikenali sebagai ahli bersekutu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.