Selesaikan dulu masalah struktur tokong dalam gua, kata NGO

Selesaikan dulu masalah struktur tokong dalam gua, kata NGO

Seorang arkitek berkata kerajaan negeri atau jawatankuasa tokong boleh mendapatkan pakar geologi bebas untuk mengenal pasti masalah struktur dan melakukan pembaikan.

Kuil Nam Thean Tong di Gunung Rapat telah diberikan notis pengusiran. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang aktivis pemuliharaan berkata tokong di dalam gua di Kinta boleh dipulihara dengan selamat menerusi kerja-kerja pembaikan dan bukannya diusir atas alasan keselamatan awam.

Seorang arkitek, Steven Thang berkata kerajaan negeri atau jawatankuasa tokong boleh mendapatkan pakar geologi bebas untuk mengenal pasti masalah struktur dan melakukan pembaikan susulan timbul kebimbangan mengenai keselamatannya selepas notis pengusiran dihantar kepada jawatankuasa terbabit.

Katanya, kedua-dua pihak itu boleh menyediakan prosedur secara bersama-sama untuk memastikan orang ramai dan kawasan itu selamat.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pada Khamis lalu berkata pemeriksaan menunjukkan beberapa struktur dalam gua berkenaan tidak selamat.

Beliau berkata notis pengusiran yang dihantar kepada jawatankuasa tokong tidak ditarik balik.

Daerah Kinta mempunyai 14 tokong di dalam gua termasuk salah satunya yang berusia 155 tahun. Nasib tokong terbabit masih tidak pasti apabila pengurusan Kuil Nam Thean Tong di Gunung Rapat menerima notis daripada Pejabat Tanah Daerah Kinta untuk mengosongkan gua dalam tempoh 30 hari.

Badan Warisan Malaysia turut menggesa Jabatan Warisan Negara untuk mewartakan tokong di dalam gua sebagai tapak warisan negara.

Selain itu, Thang berkata kerajaan negeri perlu meneliti cara untuk menyediakan sokongan dan bukannya mengusir mereka.

Katanya, negara lain seperti China dan India juga mempunyai kuil, “jadi ia boleh dipulihara dengan baik dan selamat menerusi kerja-kerja pembaikan.”

“Tokong di dalam gua ini adalah tapak warisan semula jadi. Ia mempunyai nilai sejarah dan lokasi pelancongan popular.”

Beliau menggesa Saarani untuk menarik balik notis pengusiran dan mewartakan tokong itu sebagai tapak warisan. Tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan memulihara gua itu akan terletak pada jawatankuasa tokong.

Thang ialah pengerusi jawatankuasa pemuliharaan dan warisan Institut Arkitek Malaysia dan bendahari kehormat Majlis Antarabangsa untuk Monumen dan Tapak Warisan Malaysia.

Kuil Nam Thean Tong menjadi lokasi yang sering dikunjungi dan ia terletak bersebelahan dengan kuil terkenal, Sam Poh Tong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.