
Bermula dengan menyediakan ribuan pek makanan berasaskan sayuran untuk mangsa banjir yang terkandas di Shah Alam, Petaling Jaya, dan Kuala Lumpur, misi bantuan Gurdwara Sahib sudah beralih ke Fasa V.
Penyelaras projek, Pavandeep Singh, berkata Fasa V merangkumi misi untuk mengagihkan barangan sumbangan orang ramai berupa barangan keperluan seperti pek makanan, alatan membersih, tilam, dan barangan elektronik.
“Kami akan terus menjalankan amanah. Barangan yang kami dapat dan kami beli ini hasil sumbangan orang ramai yang sehingga kini tak putus-putus salurkan bantuan sejak negara dilanda banjir,” katanya ketika ditemui FMT.
Bantuan akan diberikan secara individu kepada semua mangsa banjir mengikut keperluan terutama mereka yang kehilangan rumah.

Sejak dua minggu lepas, pasukan sukarelawan Gurdwara Sahib sudah pergi ke beberapa negeri antaranya Melaka, Johor, Kelantan, dan Pahang untuk menyerahkan sumbangan dan melihat keadaan rumah mangsa yang perlu dibaik pulih.
“Sudah banyak barang yang telah kami agihkan. Kami dalam perancangan untuk membantu mangsa banjir membaiki rumah menggunakan peruntukan yang ada,” ujarnya.
Alah bisa tegal biasa. Menceritakan perjalanan menghantar barangan bantuan kepada mangsa banjir khususnya di pedalaman dan berisiko, seorang sukarelawan, Narin Sardar Singh, berkata mereka perlu menempuh banjir untuk sampai ke lokasi.
“Lagi satu kilometer nak sampai ke perkampungan, tetapi ketika itu hari dah mula hujan lebat dan air mula naik. Kereta tak boleh nak lalu. Kalau kami teruskan, nak patah balik takut sangkut dekat situ, jadi kami cepat turunkan barang pindah ke bot.

“Kebanyakan sukarelawan yang terlibat ketika itu antara yang pernah berdepan banjir. Walaupun keadaan ketika itu memang mencabar, masing-masing kuat semangat untuk habiskan misi sebab mereka faham apa yang mangsa lalui sekarang,” katanya.
FMT dimaklumkan pihak Gurdwara Sahib akan ke Lanchang, Pahang sekali lagi untuk meninjau keadaan mangsa di sana kerana difahamkan kawasan itu antara yang terjejas teruk.
Nama Gurdwara Sahib menjadi sebutan apabila rumah ibadat Sikh itu berjaya mengumpulkan masyarakat daripada pelbagai kaum termasuk orang Islam bergotong-royong menyediakan makanan untuk mangsa banjir.
Ia sekali gus mengenepikan sentimen “halal ke tidak” yang cuba dimainkan sesetengah pihak di media sosial.
Antara yang turun ke Gurdwara Sahib PJ untuk membantu memasak ialah bekas Menteri agama, Zulkifli Mohamad, untuk menghantar mesej jelas kepada pengkritik di media sosial.