Polis akan siasat dakwaan ADUN Pasir Bedamar minuman dicampur dadah

Polis akan siasat dakwaan ADUN Pasir Bedamar minuman dicampur dadah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sampel urin Terence Naidu sudah dihantar ke patologis untuk mendapatkan laporan lengkap.

Semalam, ADUN Pasir Bedamar, Terence Naidu mendakwa dihidangkan minuman ‘aneh’ sebelum ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Pinang kelmarin kerana disyaki positif dadah. (Gambar Facebook)
IPOH:
Polis akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Terence Naidu, kononnya minumannya telah dicampur dengan dadah sebelum ditangkap dalam satu serbuan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ), Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan akan dijalankan sepenuhnya, sebelum kertas siasatan diserahkan kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Kita telah hantar sampel (urin) ke patologis untuk dapatkan laporan lengkap. Individu itu juga telah membuat laporan polis mendakwa ada yang telah memasukkan sesuatu dalam minuman. Itu pun kita akan siasat.

“Sesiapa sahaja boleh membuat dakwaan atau laporan polis. Kita akan siasat selengkapnya sebelum kertas siasatan disiapkan dan dihantar ke DPP untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berkaitan kejayaan JSJN Bukit Aman merampas dadah bernilai RM111.2 juta di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Polis Perak, Mior Faridalathrash Wahid.

Ayob Khan berkata, siasatan juga dilakukan terhadap dua anggota polis yang turut ditahan dalam serbuan di sebuah pusat hiburan pada Khamis lalu.

Semalam, Terence Naidu mendakwa dihidangkan minuman “aneh” sebelum ditahan polis dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Perai, Pulau Pinang kelmarin kerana disyaki positif dadah.

ADUN DAP itu berkata, sebelum ditahan, beliau diundang bertemu kawan-kawan yang juga pelanggan untuk perjumpaan dan makan sempena Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, sebaik sahaja dibebaskan, beliau membuat laporan polis mendakwa terdedah kepada anasir mencurigakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.