Pecat Khairuddin: Tak pernah pemimpin gugur kerana beza pendapat, tapi kesalahan disiplin, jelas Takiyuddin

Pecat Khairuddin: Tak pernah pemimpin gugur kerana beza pendapat, tapi kesalahan disiplin, jelas Takiyuddin

Setiausaha Agung PAS memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang mendakwa pemecatan Khairuddin Aman Razali ada kaitan isu MN dan PN.

Takiyuddin Hassan berkata, tidak pernah ada orang digugurkan atau dipecat PAS akibat perbezaan pendapat, kecuali tindakan itu bercanggah perlembagaan parti kerana ia satu kesalahan disiplin.
PETALING JAYA:
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengesahkan bahawa pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali, daripada Jawatankuasa PAS Pusat bukan kerana perbezaan pendapat.

Malah, tidak pernah seseorang dalam PAS dipecat kerana berbeza pendapat, tegasnya, mengulas pengguguran Khairuddin di sebalik khabar angin mengatakan ia berkaitan dengan isu Perikatan Nasional dan Muafakat Nasional.

“Dalam PAS, tidak pernah ada kes berpunca daripada perbezaan pendapat yang menyebabkan seseorang itu digugurkan atau dipecat, kecuali tindakan itu bercanggah perlembagaan parti kerana ia satu kesalahan disiplin,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Khairuddin dilantik ke AJK PAS Pusat selepas pemilihan parti tahun lepas yang menyaksikan beliau tewas.

Ketika ditanya FMT sebab beliau digugurkan, Khairuddin sekadar menjawab, “boleh baca apa yang tersirat” dan berkongsi catatan Facebook yang mengingatkan pemimpin bahawa wajib mengusahakan perpaduan antara PAS dan Umno.

Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang mengumumkan pengguguran Khairuddin sebagai AJK PAS semalam, menentang Muafakat Nasional diteruskan jika Umno tidak menerima Bersatu dalam gagasan itu.

“Saya nafikan mana-mana pihak yang mengatakan tindakan terhadap Khairuddin ini berpunca daripada isu berkaitan MN dan PN, tidak sama sekali…saya boleh sahkan perkara itu,” tegas Takiyuddin hari ini.

Beliau tidak mahu menghuraikan mengapa Khairuddin digugurkan, dan memberi amaran, “sesiapa nak buat kenyataan sedemikian…saya boleh ambil tindakan undang-undang.”

Takiyuddin menambah Hadi selaku Presiden berhak menamatkan lantikan mana-mana pemimpin jika merasakan individu terbabit tidak dapat melaksanakan tanggungjawab sewajarnya.

Proses itu bagaimanapun memerlukan persetujuan Jawatankuasa PAS Pusat, tambahnya.

Terdahulu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man dilapor berkata pengguguran Khairuddin itu bagi melantik individu lain yang mempunyai kepentingan dalam konteks jawatankuasa parti berkenaan.

“Tak ada isu sangat. Khairuddin juga masih kekal, cuma tidak dalam AJK PAS Pusat. Ada program-program lain yang diuruskannya,” katanya menurut Mingguan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.