Kaki pesakit diabetes dipotong dilarikan anjing liar, cetus kegemparan di Sibu

Kaki pesakit diabetes dipotong dilarikan anjing liar, cetus kegemparan di Sibu

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat, berkata bahagian kaki itu disimpan dalam beg plastik dan ditanam di tanah perkuburan, namun dikorek anjing liar.

Hospital Sibu bagaimanapun mengesahkan kaki itu milik seorang pesakit diabetes yang menjalani pembedahan memotong kaki kiri, baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Berlaku kegemparan di Sibu berhubung penemuan sebahagian kaki manusia dipotong dipercayai dibawa lari anjing liar.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sibu Collin Babat, berkata kaki itu ditemui di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kedai besi buruk yang terletak berhampiran tanah perkuburan Cina di Jalan Bukit Lima di sini, kira-kira jam 8 pagi, hari ini.

Menurutnya, bahagian kaki sebelah kiri sehingga paras bawah lutut itu ditemui pekerja kedai besi buruk berkenaan dan segera melaporkan di Balai Polis Lanang.

“Susulan itu anggota dari Balai Polis Lanang dan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu bergegas ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Pasukan polis yang turut membawa anjing pengesan K9 kemudian menemui beg plastik yang biasa digunakan oleh hospital untuk menyimpan sisa buangan di tanah perkuburan Cina di Jalan Bukit Lima,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Collin berkata hasil pemeriksaan lanjut menemui kesan tanah digali yang dipercayai tempat bahagian kaki itu ditanam.

“Kita percaya bahagian kaki itu disimpan dalam beg plastik dan ditanam di tanah perkuburan itu namun dikorek oleh anjing liar sebelum membawanya ke kawasan penemuan.

“Mungkin kaki ini tidak ditanam dengan betul dan menyebabkan anjing liar dapat mengoreknya,” katanya.

Tambah Collin lagi, rujukan dibuat dengan Hospital Sibu yang mengesahkan kaki itu milik seorang pesakit diabetes yang menjalani pembedahan memotong kaki kiri baru-baru ini.

Sehubungan itu, katanya bahagian kaki itu diserahkan semula kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.