‘Apakah penjenayah lain dapat layanan sama,’ Puad persoal bantuan, simpati untuk Daniel

‘Apakah penjenayah lain dapat layanan sama,’ Puad persoal bantuan, simpati untuk Daniel

Pemimpin Umno itu mempersoalkan simpati dan bantuan yang diberikan kepada remaja yang ditangkap cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Selangor baru-baru ini.

Puad Zarkashi berkata beliau hairan tiba-tiba saja kemarahan orang ramai terhadap Daniel Iskandar Mohd Nasir yang disahkan mencuri tabung masjid untuk mendapatkan bekalan dadah, kini bertukar simpati. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno mempersoalkan layanan dan bantuan yang diterima oleh remaja yang ditangkap cuba mencuri tabung masjid di Kuang, Selangor, hanya kerana dia dimandikan seperti jenazah menggunakan kapur barus.

Puad Zarkashi berkata beliau hairan tiba-tiba saja kemarahan orang ramai terhadap Daniel Iskandar Mohd Nasir, 19, yang disahkan mencuri untuk mendapatkan bekalan dadah, kini bertukar simpati hingga imam Masjid Islahiah, Kuang dipaksa meletak jawatan oleh pihak berkuasa agama negeri.

“Tiba tiba sahaja kemarahan orang ramai terhadap Daniel Iskandar pencuri tabung masjid menjadi simpati. Imam tukang mandi mayat pula yang terpaksa letak jawatan.

“Kenapa jadi simpati pada penjenayah. Apakah penjenayah lain akan dapat layanan sama. Puncanya orang marah tindakan mandi mayat guna kapur barus. Begitulah kuasa warganet,” katanya di Facebook.

Puad Zarkashi.

Beliau turut merujuk kepada bantuan guaman secara percuma daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), sementara Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyatakan kesediaannya untuk membantu merawat dan memulihkan remaja itu daripada ketagihan dadah.

Daniel juga mendapat perhatian Pemuda Amanah dan majoriti orang awam yang sanggup membayar denda terhadap kesalahannya itu.

Namun, Puad berkata beliau akur kuasa warganet dan berharap kerajaan tidak “pekakkan telinga” dan mendengar rintihan mereka dalam pelbagai isu rakyat.

“Semoga kerajaan akan mendengar suara warganet dalam isu-isu kerakyatan. Jangan pekakkan telinga,” katanya.

Semalam, media melaporkan Mahkamah Tinggi Shah Alam akan menyemak keputusan kes remaja berkenaan yang dijatuhi hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung masjid pada 8 Jan lalu pada Isnin ini.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Zainul Rijal Abu Bakar berkata prosiding semakan itu ditetapkan mengikut peruntukan Bab 31 Kanun Tatacara Jenayah.

Kelmarin, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam sidang media berkata hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Rendah boleh disemak oleh Mahkamah Tinggi jika didapati berlebihan atau kurang sesuai mengikut undang-undang sedia ada.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.