
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Ismail Abd Muttalib berkata kerja-kerja pembersihan membabitkan negeri Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor telah mencapai 98%, manakala Johor mencapai tahap 90%.
Beliau berkata untuk semalam sahaja, sebanyak 438 tan sisa banjir dibersihkan melibatkan 112 jentera dan 354 pekerja di bawah seliaan SWCorp (SWM Environment Sdn Bhd, Alam Flora Sdn Bhd dan E-Idaman).
“Sebanyak 48,589 tan sisa banjir dibersihkan di Selangor; 34,100 tan di Pahang; 1,400 tan di Negeri Sembilan; 630 tan di Kuala Lumpur dan 139 tan di Melaka.
“Manakala di Johor, sebanyak 275.63 tan sisa banjir dibersihkan sehingga semalam,” kata beliau kepada pemberita ketika Operasi Mega Pembersihan Pascabanjir di Johor di Kampung Baru Lenga, hari ini.
Menurut Ismail lagi ketika pasca banjir, kementeriannya telah membelanjakan sebanyak RM117.5 juta untuk pelbagai program pemulihan.
Antaranya pemulihan fasiliti awam melibatkan kos sebanyak RM50 juta dan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia sebanyak RM50 juta bagi baik pulih rumah rosak dan bina rumah baharu.
Selain itu, bagi kerja-kerja pembersihan sisa banjir membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula, sebanyak RM12.5 juta diperuntukkan dan RM5 juta lagi adalah untuk Bantuan Bakul Bencana.
“Pihak kementerian juga akan mengumpul dan mengemas kini data, memandangkan ada beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) masih dibuka dan menjangkakan akan menambah jumlah peruntukan untuk program pemulihan pasca banjir ini.
“Proses mengumpul dan mendapatkan data terkini ini juga akan melibatkan pelbagai pihak seperti pejabat daerah, PBT dan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya.