
Ketuanya, Hasbie Muda berkata pihaknya sudah mengenal pasti beberapa pusat pemulihan yang menekankan pendidikan agama Islam bagi merawat, memulihkan dan mendidik remaja terbabit, seperti diminta keluarganya.
Katanya, beberapa pusat yang dikenal pasti termasuk Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Selangor (Perkid) di Hulu Langat.
“Pemuda Amanah akan tanggung kos masuk dan yuran bulanan adik Daniel Iskandar untuk sekurang-kurangnya enam bulan atau sehingga beliau pulih,” katanya kepada FMT selepas mengadakan perjumpaan dengan keluarga remaja itu di Kampung Damai, Kuang, Selangor, semalam.
Turut hadir dalam pertemuan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Sany Hamzan.
Sementara itu, ibu Daniel, yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Jas berkata ramai yang cuba menawarkan pekerjaan kepada anaknya namun ia terpaksa ditolak secara baik.
Katanya, tumpuan utama mereka ketika ini untuk “membersihkan” anaknya daripada penyalahgunaan dadah dan memberi semangat baru kepada anak sulungnya itu.
“Ramai yang hubungi kami, (nak) bagi (Daniel) macam-macam kerja…buat rumah, jaga kedai runcit…tetapi kami terpaksa tolak kerana kami mahu Daniel fokus dalam pemulihan dan selepas itu sambung belajar dalam kemahiran,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Shafa’aton Abu Bakar, mengesahkan remaja berkenaan kononnya mendakwa hendak membeli ubat untuk datuknya adalah tidak benar, sebaliknya mencuri tabung masjid untuk mendapatkan bekalan dadah.
“Siasatan awal mendapati lelaki itu mencuri untuk mendapatkan dadah, bukan untuk beli ubat datuknya seperti tular di media sosial. Remaja itu didapati terbabit kes dadah sejak setahun lalu,” katanya, menurut laporan Berita Harian.
Daniel, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.
Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti “jenazah” selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang pada 11.58 malam, 8 Jan lalu.
Dia turut dilumur dengan kapur barus oleh ahli pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.