RM7 juta dilulus untuk bantuan guaman percuma, kata Peguam Negara

RM7 juta dilulus untuk bantuan guaman percuma, kata Peguam Negara

Katanya, ini gambaran komitmen berterusan dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf khidmat bantuan guaman bagi memastikan akses sama rata kepada keadilan bagi yang memerlukan penyelesaian undang-undang.

Jumlah perkhidmatan oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan melonjak daripada 91,544 pada 2013 kepada 215,990 pada 2020, kata Peguam Negara Idrus Harun.
PETALING JAYA:
Kerajaan meluluskan geran sebanyak RM7 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) tahun ini untuk mewakili individu yang memerlukan khidmat guaman dalam kes-kes jenayah, kata Peguam Negara Idrus Harun.

Idrus berkata, ia adalah gambaran komitmen berterusan dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf khidmat bantuan guaman bagi memastikan akses yang sama rata kepada keadilan buat mereka yang memerlukan penyelesaian undang-undang.

“Mengenai kerjasama teguh antara Jabatan Peguam Negara (AGC), Majlis Peguam dan peguam lain melalui YBGK, sebagai Pengerusi YBGK saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa selama ini jumlah perkhidmatan oleh YBGK melonjak daripada 91,544 pada 2013 kepada 215,990 pada 2020.

“Perkembangan ini menyebabkan peningkatan dalam perbelanjaan YBGK daripada kira-kira RM2 juta pada 2013 kepada RM9.1 juta pada 2020. Oleh sebab itu, kerajaan telah menaikkan geran yang diberikan kepada YBGK untuk menampung perbelanjaan tersebut. Jumlah yang diterima oleh YBGK sejak penubuhannya ialah RM58,089,200,” katanya menurut laporan Bernama, ketika melancarkan Tahun Perundangan 2022 di Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sementara itu Idrus berkata, dua tahun lepas ini menyaksikan tiga komponen dalam pentadbiran keadilan – Badan Kehakiman, AGC dan Badan Peguam – bekerjasama untuk mengatasi cabaran yang tidak diduga disebabkan pandemik Covid-19.

Beliau berkata, tiga komponen dalam pentadbiran keadilan itu sememangnya menyuarakan aspirasi, hasrat dan visi yang sama untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan mengekalkan integriti profesion undang-undang sambil menyokong kebiasaan baharu.

“Saya tidak mahu melihat kemerosotan keyakinan orang ramai terhadap mana-mana tiga komponen ini kerana orang ramai melihat kita sebagai saling berkaitan dan tidak berbeza.

“Justeru, Badan Kehakiman, AGC dan Badan Peguam mesti bersatu dengan satu visi dan satu matlamat, serta berganding bahu untuk mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif ke arah mencapai keadilan dalam masa yang mencabar ini,” katanya.

Idrus berkata, di samping tugas undang-undang berkaitan Covid-19, mereka (AGC) juga memastikan jentera undang-undang berfungsi dalam persekitaran operasi yang agak berbeza.

Pada majlis yang sama, Presiden Badan Peguam Malaysia AG Kalidas dalam ucapannya berkata, badan itu juga terlibat dengan pihak berkuasa berhubung akses berterusan kepada perkhidmatan guaman semasa tempoh sekatan pergerakan pada pertengahan 2021.

Beliau berkata, Badan Peguam itu membuat representasi tegas bahawa peguam dibenarkan memberikan perkhidmatan mereka dan dapat mewakili anak guam dengan berkesan.

“Tambahan pula, dalam kes peguam YBGK, mereka dipanggil untuk mewakili tertuduh di mahkamah. Tanpa peguam YBGK, mereka mungkin tidak diwakili peguam kerana tidak mempunyai cara lain untuk mendapatkan representasi undang-undang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.