PRN Johor: Terserah kerajaan negeri, istana, kata Umno

PRN Johor: Terserah kerajaan negeri, istana, kata Umno

Naib Presiden Umno Mahdzir Khalid berkata mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno telah membincangkan perkara itu Rabu lalu.

Blok kerajaan hanya memiliki kelebihan satu kerusi, iaitu 28-27 selepas kematian ADUN Kempas bulan lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Umno menyerahkan sepenuhnya kepada kerajaan negeri dan Istana Johor untuk membuat keputusan berhubung pembubaran DUN bagi membolehkan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Naib Presiden Umno, Mahdzir Khalid berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah membincangkan perkara itu, Rabu lalu.

“Pelaksanaan PRN terpulang kepada negeri Johor, kalau kata tidak sesuai ia terserah kepada negeri itu. Ia hal Johor,” katanya menurut laporan Kosmo.

Terdahulu, MKT Umno memberi “lampu hijau” kepada parti itu untuk bersiap sedia menghadapi PRN Johor bagi mendapatkan mandat baharu untuk mendirikan kerajaan yang lebih stabil berbanding majoriti satu kerusi sekarang.

Ketika ini, kerajaan memiliki 28 kerusi manakala blok pembangkang 27 kerusi.

Situasi itu dianggap goyah selepas kematian bekas Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Osman Sapian.

Keyakinan Umno juga dilihat dari sudut kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada PRN Melaka November lalu, selepas menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, sekali gus meyakinkan parti itu bahawa sokongan rakyat sudah berubah berbanding semasa pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Sebelum ini, Menteri Besar, Hasni Mohammad dipetik berkata bahawa kerajaan negeri akan melihat dan memantau keadaan semasa termasuk meneliti keperluan untuk mengadakan PRN berikutan mempunyai kelebihan hanya satu kerusi DUN.

Katanya, beliau perlu memahami reaksi khususnya dalam kalangan parti-parti yang bergabung untuk menubuhkan kerajaan kerana kerajaan telah mengadakan sidang khas pada 6 Jan untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 berkenaan pengundi berusia 18 tahun.

“Kedudukan kerajaan negeri ketika ini mempunyai majoriti amat tipis dengan hanya satu kerusi yang boleh membuatkan kerajaan negeri dikhuatiri bertambah tidak stabil,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.