Pekerja putus dua jari, kilang aksesori motosikal didenda RM13,000

Pekerja putus dua jari, kilang aksesori motosikal didenda RM13,000

Kilang itu didapati gagal mengadakan sistem kerja selamat hingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 52 tahun.

Mangsa putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanannya akibat kemalangan pada 23 Julai lalu itu. (Gambar Bloomberg)
TELUK INTAN:
Sebuah kilang pembuatan dan pemasangan aksesori motosikal didenda RM13,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, selepas seorang pekerjanya cedera parah putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit mesin mengecap di tempat kerja.

Pejabat Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Perak, Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan menyebut syarikat CJM Industries Sdn Bhd yang diwakili pengarah urusannya sebagai majikan, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Intan Nurul Farena Zainal Abidin.

“CJM Industries Sdn Bhd sebagai majikan telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerjanya semasa bekerja, iaitu gagal mengadakan sistem kerja yang selamat bagi aktiviti menggunakan mesin mengecap sehingga menyebabkan berlaku kemalangan kepada seorang pekerja tempatan berusia 52 tahun.

“Kemalangan yang berlaku pada 23 Julai tahun lalu, jam 2.15 petang telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah iaitu putus jari telunjuk dan jari tengah tangan kanan akibat terhimpit di antara ‘die’ dan ‘mould’ mesin mengecap,” menurut kenyataan tersebut hari ini.

Menurut kenyataan itu, pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.