
Semakan dalam talian mendapati vaksin boleh didapati di fasiliti penjagaan kesihatan swasta dengan harga lebih RM170 bagi setiap dos, tetapi bermula esok, harga vaksin Sinovac dihadkan pada RM62 bagi pembelian borong atau RM77 secara runcit sementara vaksin Sinopharm pada RM48 (borong) atau RM61 (runcit).
“Masa yang mencukupi sepatutnya diberikan agar mereka yang telah membeli stok vaksin pada harga lebih tinggi dapat menghabiskannya sebelum kawalan harga diumumkan,” kata Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai kepada FMT.
“Jika terdapat libat urus dengan pemegang taruh sebelum pengumuman ini, maka MMA tidak mengetahuinya.”
Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) bersetuju dengan pandangan MMA. Presidennya, Dr Kuljit Singh berharap kerajaan telah mempertimbangkan implikasi kewangan dasar ini kepada industri.
“Ini terutamanya bagi pengamal (perubatan) yang membeli sejumlah besar stok pada kadar harga lebih tinggi di peringkat awal dan masih belum menyelesaikan vaksinasi secara komersial,” katanya.
Kuljit berkata, industri penjagaan kesihatan swasta berharap dasar harga siling kerajaan ini bersifat sementara dan dilaksanakan hanya dalam keadaan “luar biasa”.
Beliau berharap dasar itu tidak menetapkan duluan jangka panjang “campur tangan kerajaan yang tidak terkawal” dalam penetapan harga produk perubatan.
Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Alexander Nanta Linggi berkata, harga siling ditetapkan bagi kedua-dua vaksin itu disebabkan harga pasaran yang tinggi dan berbeza-beza.
Bagaimanapun Koh berkata, MMA tidak nampak rasional di sebalik had harga itu kerana sebahagian besar vaksin di negara ini diberikan secara percuma kepada orang ramai bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
“Hanya peratusan kecil vaksin dijual oleh penyedia penjagaan kesihatan swasta. Mereka yang memilih untuk membayar vaksin adalah mereka yang mampu,” katanya.
Beliau juga menasihatkan orang ramai bahawa harga siling hanya untuk vaksin, tidak termasuk peralatan guna habis seperti picagari yang dikenakan bayaran.
Selain caj perundingan dan prosedur katanya, terdapat kos pentadbiran yang perlu ditanggung.
Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, individu yang didapati menjual vaksin melebihi harga siling boleh didenda di mahkamah sehingga RM100,000, penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya. Kompaun RM50,000 juga boleh dikeluarkan.
Syarikat boleh dikenakan denda RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.