
Ini berikutan pendedahan seorang anggota polis berpangkat lans koperal dalam laporan yang dibuatnya di balai polis Perak pada 2015 bahawa beliau dimarahi Mohd Shuhaily Mohd Zain yang ketika itu merupakan Ketua Polis Daerah Hilir Perak.
Dalam laporan yang disiarkan oleh akaun Twitter pemberi maklumat Edisi Siasat, anggota polis itu mendakwa Shuhaily memarahinya kemudian memukul bahunya kerana gagal memberi tabik hormat ketika keretanya melepasi pos pengawal.
Peguam Sankara Nair berkata, bawah Akta Polis 1967, jawatankuasa tatatertib mesti ditubuhkan untuk meneliti laporan polis. Jawatankuasa itu kemudiannya mesti memutuskan sama ada tertuduh akan digantung kerja atau menjalankan tugas pentadbiran sementara menunggu inkuiri selesai.
“Jawatankuasa tatatertib kemudiannya akan mengesyorkan hukuman yang sewajarnya selepas inkuiri selesai,” kata Nair, yang juga bekas pegawai kanan polis, kepada FMT.
Beliau berkata, persoalan lain yang timbul adalah sama ada laporan anggota polis itu disiasat.
“Apabila laporan dibuat terhadap pegawai kanan polis, siasatan mesti dijalankan tanpa berlengah-lengah. Pada masa yang sama, inkuiri tatatertib perlu diadakan. Adakah ini dilakukan pada masa itu?” soalnya.
Katanya, laporan itu sepatutnya disiasat bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dengan sengaja yang membawa hukuman penjara atau denda jika sabit kesalahan.
Saman sivil sudah terlambat tambahnya kerana ia dihadkan oleh tempoh masa tiga tahun.
Semalam, dua kumpulan sivik – Menghapuskan Kematian dan Penderaan Dalam Tahanan (EDICT) dan Citizens Against Enforced Disappearances (CAGED) – menggesa Shuhaily menjawab dakwaan tersebut.