
Hakim Besar Malaya, Azahar Mohamed berkata, mahkamah memerlukan masa untuk mempertimbangkan kes itu.
“Mahkamah akan maklumkan pihak-pihak yang berkenaan apabila keputusan dibuat,” katanya, yang bersidang bersama Zaleha Yusof dan Zabariah Mohd Yusof.
Salleh pada 2013 memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi kerana mendakwa bahawa beliau dan NFCorp menggunakan pinjaman kerajaan sebanyak RM71 juta sebagai cagaran untuk membeli hartanah di KL Eco City.
Mahkamah Tinggi pada 2016 memerintahkan Rafizi membayar ganti rugi sebanyak RM150,000 selepas mendapati beliau memfitnah Salleh.
Mahkamah Rayuan bagaimanapun menerima rayuan Rafizi lalu mengetepikan keputusan mahkamah bawahan itu. Ia memerintahkan ganti rugi yang sudah dibayar Rafizi kepada Salleh itu dibayar balik serta menganugerahkan kos sebanyak RM110,000 kepada Rafizi.
Mahkamah Persekutuan hari ini mendengar hujah daripada peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Salleh dan NFCorp serta peguam Razlan Hadri Zulkifli yang mewakili Rafizi.
Shafee berhujah, dakwaan Rafizi bahawa Salleh menggunakan dana awam untuk projek fidlot sebanyak RM71 juta sebagai jaminan untuk mendapatkan pinjaman bagi lapan unit rumah pangsa tidak perlu ditimbulkan sama sekali.
“Memang bank ada menawarkan pinjaman tetapi anak guam saya tidak ambil pinjaman itu. Selepas enam bulan tiada maklum balas, bank membatalkan tawaran pinjaman itu.
“Ketika kami menyoal Rafizi semasa perbicaraan, beliau akui tidak tahu akan hal itu (iaitu Salleh tidak ambil tawaran bank),” katanya.
Shafee juga berkata, Rafizi tidak pun cuba menentusahkan dokumen-dokumen bank Salleh dan syarikat-syarikat berkaitan yang ada dalam simpanannya dengan Salleh.
“Beliau ada masa untuk menyediakan keterangan media empat halaman, tetapi dia tidak hubungi anak guam saya untuk mengesahkan perkara itu,” kata Shafee.
Beliau menyifatkan Rafizi “semberono” dan mendakwa Mahkamah Tinggi menyebut bahawa kenyataan media Rafizi “berniat tidak baik”.
Razlan bagaimanapun mempertikaikan hujah Shafee dan berkata, keputusan Mahkamah Tinggi tidak pun menyatakan kenyataan media Rafizi berniat tidak baik.
“Itu adalah pandangan peguam (Shafee), bukannya pandangan hakim,” katanya.
Razlan juga mendakwa hakim tersebut terkhilaf apabila memutuskan Rafizi melakukan fitnah.
“Kenyataan media (Rafizi) harus dibaca secara keseluruhan, bukan hanya bahagian yang menyatakan ‘dana untuk projek fidlot itu telah digelapkan untuk mendapatkan pinjaman rumah’.
“Rafizi mendesak kerajaan bertindak kerana pada ketika itu skandal NFC mendapat liputan media secara meluas dan menjadi perbincangan politik,” katanya.