Trend ‘unboxing’ isteri boleh runtuh institusi keluarga, Timbalan Menteri Agama beri amaran

Trend ‘unboxing’ isteri boleh runtuh institusi keluarga, Timbalan Menteri Agama beri amaran

Ahmad Marzuk Shaary kecewa dengan gaya hidup masyarakat Islam yang mencampuri perkara halal dan haram demi meraih populariti di media sosial.

Ahmad Marzuk Shaary menggesa semua pihak memberi kerjasama bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini.
PETALING JAYA:
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary kecewa dengan gaya hidup masyarakat Islam ketika ini yang mencampurkan perkara halal dan haram dalam kehidupan seharian dengan mengoptimumkan penggunaan media sosial untuk meraih populariti.

Beliau berkata, perbuatan segelintir individu yang tanpa segan silu mendedahkan aib pasangan pengantin masing-masing kerana mahu mengikut trend ‘unboxing’ isteri di media sosial boleh membawa kepada keruntuhan institusi keluarga.

“…apabila bakal ibu bapa sebagai tonggak institusi ini daripada awal lagi sudah tidak mengikut landasan nilai yang betul, apatah lagi mahu memupuk nilai moral anak-anak.

“Sedikit sebanyak tempiasnya turut menjejaskan nilai-nilai dalam sebuah institusi Keluarga Islam. Pasangan suami isteri tidak lagi menghiraukan maruah sehingga sanggup mendedahkan aib pasangan demi sebuah ‘content’,” katanya dalam kenyataan.

Baru-baru ini tular trend ‘unboxing’ isteri di aplikasi TikTok yang menyaksikan pasangan pengantin baharu memuat naik video menunjukkan pengantin lelaki membantu membukakan tudung pengantin perempuan dengan menanggalkan setiap aksesori pada bahagian kepala pengantin terlebih dahulu.

Trend itu mendapat kecaman pelbagai pihak terutama pendakwah dan aktivis agama yang menyifatkan perbuatan itu sebagai bercanggah dengan nilai Islam.

Mengulas lanjut, Marzuk berkata, susulan memandang berat peranan keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil inisiatif untuk memperkenalkan Pelan Tindakan Sosial Islam (PTSI) 2019–2025.

Katanya, pelan berkenaan diperkenalkan bagi menangani gejala sosial dalam kalangan umat Islam di negara ini.

“Antara langkah yang diperkenalkan pelan ini adalah penetapan agar setiap agensi yang berada di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mestilah memanfaatkan dan mengoptimumkan penggunaan media massa dan media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai murni dalam institusi kekeluargaan Islam,” katanya.

Justeru, beliau menggesa semua pihak supaya memberi kerjasama bagi membendung gejala sosial yang melanda umat Islam pada hari ini.

“Selain menjelaskan hukum Islam yang melarang trend ‘unboxing’ isteri ini, saya menyeru semua pihak yang berperanan turut mengambil tindakan proaktif dengan mempromosi nilai keluarga Islam terutamanya di saluran media baharu yang ada,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.