Sindiket sijil vaksin palsu mungkin langgar beberapa undang-undang, kata peguam

Sindiket sijil vaksin palsu mungkin langgar beberapa undang-undang, kata peguam

Seorang peguam berkata beberapa peruntukan undang-undang boleh digunakan terhadap mereka yang terlibat.

Tempoh reman terhadap seorang doktor yang dipercayai terlibat dalam penjualan sijil vaksin palsu dilanjutkan hingga Khamis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Beberapa peruntukan undang-undang boleh digunakan terhadap doktor yang didakwa mengeluarkan sijil vaksin palsu dan individu yang mendapatkan dokumen itu, kata peguam.

Sivahnanthan Ragava berkata, tindakan juga boleh diambil terhadap rakan subahat doktor terbabit di bawah undang-undang sama, sekiranya ada.

Ketika mengulas tindakan suspek yang didakwa menjual 1,900 sijil vaksin palsu di sebuah klinik swasta di Terengganu beliau berkata, mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 197 Kanun Keseksaan, iaitu mengeluarkan atau menandatangani perakuan palsu.

“Mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 270 kerana melakukan perbuatan yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada keselamatan nyawa.

“Orang ramai yang menggunakan sijil palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 471 kerana menggunakan surat pemalsuan sebagai tulen,” katanya.

Sivahnanthan berkata, walaupun tindakan yang sengaja membahayakan nyawa orang lain mengancam keselamatan negara, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma) tidak meliputi bahagian di atas.

“Sekiranya kesalahan ini dimasukkan dalam Jadual Pertama Akta Sosma barulah sindiket itu boleh didakwa di bawah akta berkenaan,” katanya.

Ditanya mengenai langkah yang boleh diambil dalam mengekang penjualan sijil vaksin secara haram, Sivahnanthan berkata, setiap dos mesti mengandungi nombor berdaftar unik dalam sistem dan setiap nombor unik hanya boleh dikeluarkan kepada seorang individu sahaja.

“Sijil hanya boleh dikeluarkan jika terdapat dua nombor unik dalam sistem. Jika mana-mana orang cuba mengeluarkan sijil palsu, mereka tidak akan dapat berbuat demikian kerana sistem akan menolak nombor unik yang tidak berdaftar,” katanya.

Menurut beberapa laporan, sindiket terbabit berjaya dibongkar oleh Jabatan Jenayah Komersil Terengganu selepas menerima maklumat mengenai penjualan sijil vaksin palsu kepada golongan yang enggan menerima vaksin.

Seorang doktor berusia 51 tahun dipercayai menjalankan sindiket terbabit secara dalam talian sejak September dengan kos di antara RM400 dan RM600.

Semalam, perintah reman terhadapnya disambung sehingga Khamis bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.