Semua rakyat Malaysia, pelaburan selamat, kata Kazakhstan

Semua rakyat Malaysia, pelaburan selamat, kata Kazakhstan

Kazakhstan memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia dan pelaburan negara ini bernilai jutaan ringgit di situ selamat, susulan kekacauan baru-baru ini.

Seorang anggota keselamatan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif mengawal keselamatan di Almaty, Kazakhstan pada Selasa. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Kazakhstan memberi jaminan bahawa rakyat Malaysia dan pelaburan negara ini bernilai jutaan ringgit selamat susulan kekacauan di negara berkenaan, baru-baru ini.

Lebih 70 rakyat Malaysia berada di Kazakhstan dengan syarikat negara ini melaburkan lebih USD1 bilion (RM4.18 bilion), sejak 30 tahun lalu.

Dalam sidang media hari ini, Duta Kazakhstan Bulat Sugurbayev berkata, beliau akan berbincang dengan pelabur Malaysia bagi meyakinkan mereka bahawa kepentingan golongan itu terjaga.

“Kami terus komited untuk memastikan peningkatan nilai pasaran ekonomi, kedaulatan undang-undang dan melindungi pelaburan,” katanya.

Sugurbayev berkata, semua rakyat Malaysia di Kazakhstan selamat dan belum ada yang meminta dihantar pulang.

Mengulas kekacauan yang berlaku di negara itu baru-baru ini, dengan cubaan rampasan kuasa di Almaty, beliau berkata, kemelut itu telah berakhir.

Katanya, pada 5 Jan bantahan aman yang dimulakan tiga hari sebelumnya berkaitan kenaikan harga bahan bakar telah diambil alih kumpulan terancang.

Katanya, desakan penunjuk perasaan telah “didengar dan dilaksanakan” oleh Presiden Kassym-Jomart Tokayev pada 4 Jan, dengan pengumuman kawal seliaan sementara terhadap harga gas serta bahan kritikal lain seperti makanan dan utiliti selama 180 hari.

Beliau mendakwa, kumpulan “keagamaan bersifat ekstremis dan perosak” telah memusnahkan infrastruktur penting, selain mengakibatkan Almaty terasing.

Perkhidmatan internet dan telefon mudah alih telah ditutup serta-merta bagi menghalang kumpulan ekstremis daripada saling berhubung, katanya.

“Ekstremis ini turut membunuh orang tidak berdosa secara rambang, menyerang ambulans dan bomba selain menyerbu hospital,” katanya. Lebih 160 orang maut dalam kekacauan itu, menurut laporan CNN.

Sugurbayev berkata, cubaan rampasan kuasa itu tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa pembabitan pegawai kanan termasuk dalam bidang keselamatan. Tambahnya, siasatan kini dijalankan berkaitan tuduhan derhaka.

Katanya, keadaan di Kazakhstan kini stabil dengan tentera dan pasukan penguatkuasaan undang-undang memerangi “pengganas” berkenaan. Negara itu kini mendapat sokongan Pertubuhan Perjanjian Keselamatan Kolektif (CSTO) untuk melawan kumpulan yang didakwa berhaluan Islam dan disifatkan “radikal dan militan” itu.

Katanya, pasukan CSTO akan meninggalkan Kazakhstan dalam tempoh 10 hari.

Susulan itu, Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty akan dibuka semula untuk penerbangan. Lapangan terbang lain di Kazakhstan tetap beroperasi sepanjang tempoh ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.