
Majlis Presiden PH dalam kenyataan berkata, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) Abu Zahar Ujang sudah tidak diyakini dan tidak dipercayai ahli LPPR, memetik kenyataan enam ahli LPPR yang bercanggah dengan Abu Zahar.
Katanya, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Borhan Dolah juga perlu direhatkan sehingga siasatan yang sama selesai kerana enggan bertindak menyiasat Azam.
“(Borhan Dolah) enggan bertindak menyiasat Azam Baki sungguhpun Azam berkemungkinan telah melakukan kesalahan undang-undang dengan membenarkan akaun saham digunakan oleh adiknya secara proksi berkaitan dengan perdagangan berjuta-juta saham dan waran.
“Perlu ada pimpinan baharu yang bersih, profesional dan bebas untuk mengetuai LPPR dan PPPR SPRM agar kewibawaan, integriti dan kredibiliti SPRM dapat dipulihkan semula,” menurut kenyataan itu.
Majlis Presiden PH yang dianggotai Anwar Ibrahim (PKR), Mohamad Sabu (Amanah), Lim Guan Eng (DAP) dan Madius Tangau (UPKO) berkata, mereka memandang serius dan perlu menegur kenyataan media tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang menyatakan sokongan terbuka kepada Azam serta membuat tuduhan berhubung motif “dendam politik”.
“Tindakan janggal mereka secara terburu-terburu menyokong ‘bos’ mereka dengan kenyataan terbuka menyerupai tingkah laku ahli politik dalam sebuah parti politik, bukannya agensi terhormat seperti SPRM.
“Kalau begitu suatu siasatan yang dijalankan secara mendadak oleh SPRM ke atas Suruhanjaya Sekuriti (SC) taktala sedang menyiasat perdagangan saham secara ‘proxy’ oleh Azam di mana ramai telah pun dihukum sebelum ini, boleh juga disifatkan sebagai tekanan untuk motif ‘dendam politik’,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, PH mengulangi pendirian bahawa satu sidang khas Parlimen perlu diadakan segera untuk merunding dan membincangkan isu itu, sebaik-baiknya sehari sebelum atau selepas sidang khas berhubung isu banjir pada 20 Jan nanti.
Semalam, FMT melaporkan Abu Zahar menyalahkan media sebagai penyebab semua ahli LPPR menolak kenyataan beliau 5 Jan lalu berhubung isu pemilikan jutaan saham yang dikaitkan dengan Azam.
Abu Zahar berkata, kenyataannya itu setebal 13 muka surat, tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga “menyumbang kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.”
Azam sebelum ini menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pemilikan lebih empat juta saham dan waran syarikat tersenarai menggunakan akaun dagangannya pada tahun 2015-2016 semasa beliau merupakan Pengarah Siasatan SPRM.
Beliau berkata, saham dan waran itu dibeli oleh adiknya Nasir dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak atasan ketika itu.
Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti berkata, ia mahu mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung urus niaga melibatkan pemilikan saham dan waran itu.