Polis nafi barang kes RM600,000 hilang

Polis nafi barang kes RM600,000 hilang

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap pemilik akaun yang menyebarkan dakwaan kehilangan barang kes terbabit di Twitter

Satu laporan polis didedahkan Twitter Edisi Khas bertarikh 15 Mei 2020 yang dibuat seorang lelaki Cina berhubung kehilangan wang tunai lebih RM600,000 miliknya ketika ditahan polis di Ibu Pejabat Polis Seremban.
PETALING JAYA:
Polis Negeri Sembilan menafikan dakwaan berlakunya kehilangan barang kes melibatkan wang tunai berjumlah lebih RM600,000 pada Mei tahun lalu seperti yang disebarkan oleh pemilik akaun Twitter Edisi Khas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis terhadap akaun berkenaan kerana memfitnah, malah kes itu telah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Saya menafikan dakwaan yang dibuat oleh mereka. Kes tersebut telah disiasat oleh SPRM. Pihak polis telah buat laporan kerana memfitnah,” katanya kepada FMT.

Semalam, pemilik akaun itu mendedahkan satu laporan polis bertarikh 15 Mei 2020 yang dibuat oleh seorang lelaki Cina berhubung kehilangan wang tunai lebih RM600,000 miliknya ketika ditahan oleh polis di Ibu Pejabat Polis Seremban.

“Ini buktinya @PDRMsia Negeri Sembilan pun pakar curi wang barang kes, sekali serbu hilang RM600,000.

“Kes ini ditutup daripada pengetahuan umum dan sekarang cuba ditutup pulak. Eloklah Ketua Polis Negeri Sembilan letak jawatan segera,” menurut hantaran di Twitter.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.