
Kementerian Perpaduan Negara dalam kenyataan mengumumkan perjalanan pedati harus mendapat kelulusan polis, dan hanya ahli pengurusan kuil yang berdaftar boleh mengiringi pedati dalam upacara khas itu.
Beberapa kuil dinamakan secara langsung dalam kenyataan petang tadi, berhubung upacara pedati itu nanti.
Bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, pihak berkuasa menetapkan tidak melebihi 100 pengiring dan tidak melebihi 10 lokasi perhentian.
Manakala bagi Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Devastanam Paripalana Sabah di Ipoh dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah di Sungai Siput, Perak; tidak melebihi 100 pengiring dan tidak melebihi tujuh lokasi perhentian.
“Kuil-kuil lain tidak melebihi 50 orang pengiring…dan tidak melebihi lima lokasi perhentian,” menurut kenyataan itu.
Hanya pihak pengurusan kuil dibenarkan mendirikan khemah di setiap lokasi persinggahan pedati, dengan kemudahan kod QR MySejahtera atau buku pendaftaran, pengimbas suhu badan, dan pensanitasi tangan.
Kawalan perjalanan akan diuruskan pihak pengurusan kuil, bawah pemantauan polis, pihak berkuasa tempatan, dan kementerian.
Hanya untuk penerima vaksin lengkap
Dalam pada itu, pihak berkuasa menetapkan hanya penerima vaksin lengkap dan berusia 18 tahun ke atas dibenarkan menyertai aktiviti keagamaan sempena Thaipusam.
Mereka juga harus mematuhi penjarakan fizikal dan diwajibkan memakai pelitup muka.
Bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, pihak berkuasa menetapkan kehadiran tidak melebihi 6,000 orang sehari, dengan tidak melebihi 500 orang bagi setiap satu sesi sembahyang.
Manakala bagi Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Devastanam Paripalana Sabah di Ipoh dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah di Sungai Siput, Perak; kehadiran tidak melebihi 3,000 orang sehari, dengan tidak melebihi 250 orang bagi setiap satu sesi sembahyang.
Sebanyak 12 sesi sembahyang dibenarkan pada 16, 17, dan 19 Jan, dari 5.00 pagi hingga 5.00 petang, dan 18 sesi sembahyang pada 18 Jan, dari 5 pagi hingga 11 malam.
Setiap sesi sembahyang akan berlangsung selama 30 minit, diikuti 30 minit kerja-kerja sanitasi.
“Kuil-kuil lain tidak melebihi 500 orang setiap hari…tidak melebihi 50 orang bagi setiap satu sesi,” menurut kenyataan itu.
Aktiviti pemberian makanan dan minuman atau majlis makan minum semasa di kuil dan persekitaran adalah tidak dibenarkan. Turut tidak dibenarkan adalah kegiatan membawa kavadi.
Bawa belanga susu dibenarkan
Kebenaran diberikan untuk kegiatan membawa belanga susu (paal kudam) tetapi secara bersyarat dan terkawal, bermula 14 hingga 19 Jan.
Bagi Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves, pihak berkuasa menetapkan kehadiran tidak melebihi 100 orang pada satu-satu masa.
Manakala bagi Kuil Arulmigu Balathandayuthabani dan Kuil Nagarathar Thandayuthapani di George Town, Pulau Pinang; Kuil Devastanam Paripalana Sabah di Ipoh dan Kuil Sri Subramaniyar Thevasthana Paripalana Sabah di Sungai Siput, Perak; kehadiran tidak melebihi 50 orang pada satu-satu masa.
“Kuil-kuil lain tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa,” menurut kenyataan itu.
Setiap sesi adalah selama 30 minit dan diikuti 30 minit kerja-kerja sanitasi. Pengurusan kuil dikehendaki menyediakan laluan khas kepada pembawa belanga susu dan memastikan tanda penjarakan 1 meter dapat dilihat dan dipatuhi.
Pembawa belanga diwajibkan mendaftar dengan pengurusan kuil.
Sementara itu, upacara mandi khas dibenarkan di tempat yang disediakan pihak kuil.
Mencukur rambut juga dibenarkan dengan mematuhi SOP Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna bagi sektor gunting rambut.