Laporan media tak tepat, tak menyeluruh penyebab ahli LPPR jauhkan diri, kata Abu Zahar

Laporan media tak tepat, tak menyeluruh penyebab ahli LPPR jauhkan diri, kata Abu Zahar

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah itu berkata beliau sudah melampirkan kenyataan media penuh namun, ia tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media.

PUTRAJAYA:
Abu Zahar Ujang hari ini menyalahkan media sebagai penyebab semua ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah menolak kenyataan beliau 5 Jan lalu, berhubung isu pemilikan jutaan saham yang dikaitkan kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.

Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) itu berkata kenyataannya itu setebal 13 muka surat, tetapi tidak dilaporkan secara menyeluruh oleh sesetengah media sehingga “menyumbangkan kepada salah tanggapan dalam kalangan masyarakat.”

Beliau berkata kenyataannya terbarunya bertujuan meletakkan beberapa perkara “dalam perspektif yang betul dan tepat”, kerana masyarakat telah mendapat gambaran yang tidak tepat selepas mengikuti laporan media sebelum ini.

“Terdapat pelbagai isu selain isu berkaitan ‘dakwaan salah laku’ terhadap KP Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang telah diberi pandangan dan pendapat LPPR, tetapi itu pun tidak disentuh dan dilaporkan media (sebelum ini).

“Apatah lagi, video berkaitan sidang media yang tertular, cuma memaparkan sebahagian kecil kenyataan saya,” katanya.

Zahar kesal dengan kenyataan enam ahli LPPR yang menjauhkan diri daripada kenyataannya itu.

“Saya percaya (tindakan mereka) adalah dilakukan atas dasar reaksi tidak popular daripada segolongan pihak dan masyarakat semata-mata kerana tidak dilaporkan dengan tepat dan menyeluruh,” katanya.

Zahar menjelaskan kenyataan 5 Jan lalu tidak berniat atau berhasrat untuk menghalang siasatan menyeluruh terhadap Azam.

Malah, katanya,  siasatan, jika ada, adalah digalakkan bagi mendaulatkan undang-undang.

Beliau berkata perkara ini sememangnya dinyatakan dalan kenyataannya 5 Jan lalu.

Bagaimanapun, melihat kepada situasi semasa selepas kenyataannya itu, Zahar berkata beliau menyerahkan kepada Agong untuk menentukan kedudukan beliau selaku pengerusi LPPR.

Zahar berkata beliau menyerahkan isu itu kepada pihak Agong “sekiranya kenyataan 5 Jan saya telah menampilkan fahaman yang tidak dihasratkan seperti yang dinyatakan di atas (dalam kenyataan hari ini), sehingga ke tahap ianya menjatuhkan nama baik SPRM,” katanya.

Sidang media hari ini bermula lebih awal sebelum FMT dan beberapa media dalam talian lain dibenarkan masuk. Zahar meninggalkan majlis tanpa menerima sebarang soalan daripada pemberita.

Azam sebelum ini menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pemilikan lebih empat juta saham dan waran syarikat tersenarai menggunakan akaun dagangannya pada tahun 2015-2016 semasa beliau Pengarah Siasatan SPRM.

Beliau berkata saham dan waran itu dibeli oleh adiknya Nasir dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak atasan ketika itu.

Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti berkata ia mahu mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung urusniaga melibatkan pemilikan saham dan waran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.