
Had laju baharu 30km/j dan 50km/j dicadangkan untuk bahagian tertentu di pusat bandar.

Bagaimanapun perancang penggunaan tanah dan pengangkutan Goh Bok Yen berkata, pihak berkuasa mungkin perlu “mengatur semula hierarki jalan” untuk memenuhi had yang dicadangkan.
Manakala itu, perunding pengangkutan Rosli Azad Khan berkata, jalan raya utama memerlukan kelajuan tertentu dikekalkan bagi memastikan aliran lalu lintas berjalan lancar.
Katanya, tumpuan harus diberikan kepada titik gelap dan kawasan kemalangan di lebuh raya utama.
Cadangan had laju baharu itu kini dikaji oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) yang berusaha mengenal pasti jalan raya di mana had laju baharu boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan.
Jalan raya lebih mesra pejalan kaki
Goh berkata, jalan-jalan terbabit juga harus lebih mesra pejalan kaki dan persimpangan jalan harus mempunyai bebendul yang lebih luas dan lorong lebih sempit bagi memberi lebih ruang kepada pejalan kaki.
Katanya, had laju yang lebih rendah adalah idea yang baik untuk membantu meningkatkan budaya jalan raya di Malaysia dan mencapai matlamat persekitaran yang lebih selamat.
“Namun begitu, penguatkuasaan tegas perlu dilaksanakan memandangkan kebanyakan pengguna jalan raya terutamanya penunggang motosikal tidak mematuhi had laju.
“Penguat kuasa mesti memastikan mereka mematuhi peraturan. Teknologi seperti kamera CCTV pintar boleh digunakan untuk mengesan dan menangkap mereka yang melanggar undang-undang,” katanya.
Sasar kawasan kemalangan dan lebuh raya

Rosli berkata, DBKL perlu meneliti had laju berubah-ubah yang perlu dinaikkan kepada 70km/j atau 80km/j bagi lalu lintas keluar dari bandar pada waktu puncak supaya alirannya dapat ditingkatkan.
Had laju untuk lalu lintas masuk, terutamanya pada waktu puncak, akan menjadi tidak relevan kerana lalu lintas sudah pun terhenti.
“Justeru, pihak terbabit tidak seharusnya menumpukan perhatian dan membazirkan sumber di jalan raya dalam bandar. Mereka harus melihat titik gelap atau kawasan kemalangan di luar had bandar di mana kelajuan lalu lintas jauh lebih tinggi dan kemalangan lebih kerap berlaku,” katanya.
Beliau berkata, kawasan seperti Lebuhraya Persekutuan dan Lebuh Raya KESAS dan Guthrie di mana lorong motosikal telah disediakan perlu juga dikaji kerana ia adalah tempat kemalangan lazimnya berlaku.
“Jika MIROS serius untuk mengurangkan hingga separuh daripada angka kematian jalan raya, ia patut sasar lebuh raya, bukan bandar,” katanya.