SK Taman Sri Muda masih ditutup, guru besar tunggu bantuan perabot dan pam air

SK Taman Sri Muda masih ditutup, guru besar tunggu bantuan perabot dan pam air

Guru Besar Siti Halijah Sarani berkata pam air di SK Taman Sri Muda rosak selepas ditenggelami banjir besar.

Keadaan SK Taman Sri Muda yang sunyi tanpa kehadiran murid sekolah.
SHAH ALAM:
Ketika sekolah lain diisi kesibukan pelajar dan guru menyambut sesi persekolahan baharu, suasana sunyi menyelubungi hari pertama sesi persekolahan di SK Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Tidak seperti kebanyakan sekolah, SK Taman Sri Muda masih ditutup selepas ditenggelami banjir besar tiga minggu lalu. Hingga hari ini, bekalan air bersih terhad dan perabot tidak mencukupi untuk membuka kelas.

Guru Besar Siti Halijah Sarani berkata, pihaknya terpaksa memohon untuk menangguhkan sesi persekolahan berikutan bekalan elektrik masih diselenggara dan bekalan air masih terganggu.

Keadaan bilik darjah yang masih belum cukup jumlah kerusi dan meja untuk memulakan persekolahan.

“Perabot yang rosak masih dalam proses penggantian. (Kami) sedang meminta sumbangan ihsan daripada sekolah-sekolah yang mempunyai lebihan perabot.

“Setakat ini sudah terima 20 buah meja guru sumbangan SMK Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 2. (Kami juga terima) 80 buah meja murid daripada SK Kuala Kubu Baru dan masih menunggu bantuan daripada mana-mana pihak untuk mulakan operasi persekolahan,” katanya kepada FMT.

Kejadian banjir hampir seminggu itu menenggelamkan empat bilik darjah, tiga buah bilik prasekolah, dua buah bilik Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), bilik pendidikan Islam, makmal sains, makmal komputer, kedai buku, bilik kokurikulum, stor sukan dan juga kantin.

Tiga buah kelas dan bahan pengajaran untuk murid prasekolah musnah ditenggelami banjir.
Makmal komputer yang kosong selepas semua komputer rosak dan terpaksa dibuang.
Barangan dalam makmal sains turut musnah termasuk sebuah televisyen untuk pembelajaran.
Semua buku dan alat tulis rosak dan terpaksa dibuang.
Kelihatan beg untuk menyimpan peralatan sukan dijemur.

Malah Halijah berkata, sekolahnya mungkin terpaksa memulakan sesi persekolahan dengan ketiadaan bekalan air bersih selepas pam airnya rosak ditenggelami air.

“Yang paling saya berkehendak adalah pam air. Waktu banjir lepas, pam air yang pamkan air bersih ke Blok C terbakar. Pam itu bekalkan air untuk seluruh bangunan Blok C. Jadi, jika kami mulakan sesi sekolah, mungkin tanpa bekalan air.

“Murid-murid terpaksa menggunakan hanya satu tandas di Blok B. Ini menyusahkan murid-murid. Jadi kita perlukan sangat pam air itu,” katanya.

Pam air yang membekalkan air bersih untuk kegunaan blok C, SK Taman Sri Muda.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin memaklumkan terdapat sekolah yang belum dibuka susulan terkesan akibat banjir.

Beliau berkata, empat juta pelajar sekolah rendah dan menengah seluruh negara memulakan sesi persekolahan bagi penggal ketiga 2021/2022 melibatkan 1.2 juta pelajar daripada kumpulan A yang memulakan sesi persekolahan pada Ahad manakala 2.8 juta pelajar membabitkan kumpulan B pada Isnin.

Radzi berkata, bagi Selangor, seramai 473,816 pelajar memulakan persekolahan melibatkan 264,201 pelajar sekolah menengah dan 446,816 murid sekolah rendah termasuk prasekolah.

Kolam ikan dalam longkang SK Taman Sri Muda pernah tular di media sosial sebelum ini.

Halijah yang bakal bersara April ini memaklumkan bahawa wakil Kementerian Pendidikan menghubunginya dan datang ke sekolahnya untuk memantau keadaan selepas kejadian banjir 18 Dis lalu.

“Kementerian selalu pantau, tanya tentang kerosakan dan kemusnahan. Cuma mungkin tunggu bajet keluar. Tapi banyak NGO datang untuk hantar beg sekolah kepada murid. Kami sudah siap susun dan akan agih bantuan itu bila sekolah buka nanti.

“Kami juga terima sumbangan tenaga daripada orang ramai . Tolong cuci kawasan sekolah. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Antara bantuan yang bakal diagihkan kepada murid-murid.

Halijah memberitahu pihaknya agak bimbang kadar kehadiran murid ke sekolah menurun disebabkan 80% daripada mereka datang ke sekolah menggunakan khidmat van sekolah.

“80% murid hadir ke sekolah menggunakan van sekolah. Van sekolah hadapi masalah sebab semua tenggelam banjir. Van tak boleh dibaiki dengan cepat sebab banyak kenderaan tenggelam.

“Jika nak cepat mereka kena baiki sendiri yang mana tak jamin keselamatan murid. Takut rosak di tengah jalan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.