
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Abd Jalil Hassan, berkata pada masa ini, polis sedang mendapatkan pengesahan berhubung penangkapan suspek tersebut daripada Kementerian Luar Malaysia, Kedutaan Palestin di Malaysia dan Polis Antarabangsa (Interpol).
“PDRM juga akan mendapatkan kerjasama daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai hubungan baik dengan NGO di Palestin, bagi mendapatkan pengesahan mengenai perkara berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Bernama melaporkan Kementerian Dalam Negeri yang dikendalikan Hamas dipetik berkata pada Ahad suspek pembunuhan Fadi al-Batsh telah ditahan.
Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Iyad al-Buzom memberitahu sidang akhbar di Kota Gaza bahawa suspek mengaku beliau direkrut oleh Mossad.
Pada 21 April 2018, Fadi, seorang jurutera penyelidik yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Hamas, maut ditembak berhampiran rumahnya di Kuala Lumpur.
Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa dalam perjalanan dari kondominiumnya di Setapak menuju masjid berhampiran untuk menunaikan solat Subuh.