Malaysia duduki tempat ke-13 Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei

Malaysia duduki tempat ke-13 Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei

Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dan Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes susulan varian Omicron.

KUALA LUMPUR:
Malaysia berada di kedudukan ke-13 dalam senarai terbaharu Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, selepas hampir dua tahun memerangi pandemik itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam hantaran di Facebook malam tadi beliau berkata, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menunjukkan perbezaan antara Asia dan negara Barat, dengan kebanyakan negara merekodkan peningkatan kes terutama disebabkan varian Omicron dalam tempoh yang singkat.

Berdasarkan Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei, setakat 31 Dis lepas, negara berada di kedudukan ke- 13 dengan 66.5 mata, manakala Bahrain tersenarai di tempat paling atas dengan 82 mata, diikuti Chile (76.5 mata) dan Taiwan (75.5 mata).

Berdasarkan laman sesawang tersebut, Indeks Pemulihan Covid-19 Nikkei menyenaraikan kira-kira 120 negara atau wilayah bagi pengurusan jangkitan, pelaksanaan pemberian vaksin dan mobiliti sosial.

Kedudukan lebih tinggi sesebuah negara atau wilayah dalam indeks tersebut menunjukkan ia semakin hampir kepada pemulihan dengan jumlah kes Covid-19 yang rendah, kadar vaksinasi lebih baik dan langkah penjarakan sosial yang kurang ketat, menurut sumber data termasuk daripada Our World in Data, Google Covid-19 Community Mobility Reports, Oxford Covid-19 Government Response Tracker Cirium dan penyelidikan Nikkei Asia.

Malaysia mencatatkan 2,714 kes sembuh semalam, menjadikan keseluruhan kes sembuh 2,714,614 direkodkan sejak penularan wabak itu di negara ini.

Sementara itu Hisham berkata, negara kini menduduki tempat keenam dalam Indeks Covid-19 Global (GCI). GCI dibangunkan dengan input daripada pelbagai badan antarabangsa termasuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Berdasarkan GCI, Malaysia berada di kedudukan keenam dengan penarafan pemulihan tahap lima dengan indeks pemulihan 78.74, manakala Singapura berada di kedudukan teratas dengan indeks pemulihan 82.88, diikuti Korea Selatan (82.71) dan Taiwan (80.49) yang semuanya berkongsi tahap penarafan pemulihan sama, iaitu lima.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.