Ambil tindakan mengenai isu Azam ‘peluang terakhir’ PM, kata Kit Siang

Ambil tindakan mengenai isu Azam ‘peluang terakhir’ PM, kata Kit Siang

Ini supaya Ismail Sabri Yaakob dapat menyelamatkan kedudukannya dalam jawatan di kala kerajaannya berdepan pelbagai isu, kata veteran DAP itu.

Lim Kit Siang berkata, Ismail Sabri Yaakob mesti mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri bagi menamatkan perkhidmatan Azam Baki dengan SPRM jika beliau tidak bersedia menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri mesti mendapatkan persetujuan Jemaah Menteri bagi menamatkan perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki jika beliau tidak bersedia untuk menghadap Jawatankuasa Pilihan Khas bagi menjelaskan isu pemilikan saham korporatnya, kata veteran DAP Lim Kit Siang.

Lim berkata, ini akan menjadi “peluang terakhir” Ismail Sabri Yaakob untuk menyelamatkan reputasinya sebagai Perdana Menteri pada saat kerajaannya berdepan beberapa isu lain.

“Beliau juga perlu meminta Jemaah Menteri untuk memutuskan sama ada untuk mengadakan sidang Parlimen Khas pada 21 Jan untuk memulihkan keyakinan orang ramai terhadap program pencegahan rasuah kerajaan dan menerima, membahaskan dan memutuskan laporan Jawatankuasa Pilihan Khas mengenai Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri mengenai skandal Azam,” katanya.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, Malaysia sudah berdepan dua masalah besar, yang menjadi “kleptokrasi paling teruk di dunia”, iaitu kes 1MDB dan pensabitan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes rasuah SRC International.

“Usahlah kita menanggung derita yang ketiga di mana ketua SPRM hilang semua keyakinan orang ramai terhadap integriti dan kejujuran,” tambahnya.

Azam dan SPRM mendapat kecaman selepas didedahkan bahawa beliau membenarkan adiknya membeli saham menggunakan akaun dagangannya.

Pada 5 Jan, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) SPRM Abu Zahar Ujang membersihkan nama Azam daripada sebarang salah laku, dengan berkata, Azam telah memaklumkan perkara itu kepada lembaga pengarah dan pembelian saham oleh adiknya tidak menjadi konflik kepentingan.

Pada 8 Jan, enam ahli LPPR menjarakkan diri daripada kenyataan Abu Zahar, dengan mendakwa ia hanya pandangan peribadinya.

Semalam, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM Ahmad Khusairi Yahaya, Norazlan Mohd Razali dan Junipah Wandi tampil menyokong Azam, dengan mendakwa beliau menjadi mangsa “politik balas dendam”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.