3 sekolah di Sabah tangguh operasi akibat banjir

3 sekolah di Sabah tangguh operasi akibat banjir

Murid akan mengikuti PdPR mulai hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih bagi menjalankan persekolahan bersemuka, kata Pengarah Pendidikan negeri, Mistrine Radin.

KOTA KINABALU:
Sebanyak tiga buah sekolah di negeri ini terpaksa menangguhkan sesi persekolahan yang bermula hari ini berikutan banjir yang melanda, menurut Pengarah Pendidikan Sabah Mistrine Radin.

Katanya, tiga sekolah terbabit adalah SK Penontomon di Pensiangan, SK Pantai Boring di Beluran dan prasekolah di SK Lago, Beaufort.

“Tiga sekolah ini menangguhkan operasi kerana sekolah masih dilanda banjir atau banjir baru surut dan sedang dalam (proses) pembersihan.

“Murid-murid akan mengikuti PdPR (Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah) mulai hari ini sehingga sekolah selamat dan bersih untuk persekolahan bersemuka,” katanya ketika dihubungi.

Beliau memaklumkan, guru dan murid yang terbabit di sekolah-sekolah itu adalah seramai 12 guru dan 69 murid di SK Penontomon, 13 guru dan 85 murid di SK Pantai Boring, serta seorang guru dan 15 murid di prasekolah SK Lago.

Terdahulu Mistrine berkata, sebanyak 1,075 buah sekolah rendah kerajaan dan bantuan kerajaan mula beroperasi hari ini.

Katanya, pengoperasian semula sekolah berkenaan membabitkan 320,912 murid dan 26,146 guru.

“Selain itu, sebanyak 218 sekolah menengah yang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan, Sekolah Berasrama Penuh, Kolej Vokasional dan Sekolah Sukan juga mula beroperasi hari ini.

“Pembukaan semula sekolah ini membabitkan 215,483 murid dan 15,900 guru,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mistrine berkata, sebanyak 38 sekolah swasta di Sabah yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) turut memulakan operasi hari ini.

Ini membabitkan 18 sekolah rendah dengan 1,075 murid dan 203 guru, manakala 20 lagi adalah sekolah menengah dengan 6,074 murid dan 736 guru, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.