Pegawai kerajaan P Pinang bakal bermesyuarat untuk selamatkan SK Assumption

Pegawai kerajaan P Pinang bakal bermesyuarat untuk selamatkan SK Assumption

Bekas sekolah rendah mubaligh itu bakal ditutup bulan depan, selepas 89 tahun beroperasi, setelah tapaknya diambil alih pemilik.

Murid-murid SK Assumption dalam satu acara sekolah pada 2019. Bekas sekolah mubaligh itu akan ditutup pada 28 Feb selepas 89 tahun beroperasi. (Gambar Facebook)
BUTTERWORTH:
Pegawai kerajaan negeri akan bermesyuarat minggu depan dalam usaha menyelamatkan SK Assumption, bekas sekolah rendah mubaligh di sini yang akan ditutup pada 28 Feb, selepas 89 tahun beroperasi.

ADUN Bagan Dalam Satees Muniandy berkata, kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan pegawai Jabatan Pendidikan, pentadbir sekolah dan persatuan ibu bapa dan guru. Timbalan Ketua Menteri P Ramasamy, yang juga Exco Pendidikan, akan mempengerusikan mesyuarat itu, katanya.

Satees berkata, kerajaan negeri berharap sekolah itu dapat diselamatkan kerana ia antara sekolah tertua di negeri ini.

Berita penutupannya datang ketika sekolah sedang bersiap sedia untuk dibuka semula bagi penggal ketiga tahun persekolahan 2021 hari ini dan esok.

Keputusan menutup sekolah itu didedahkan oleh pasukan petugas bersama Save Assumption School, yang ditubuhkan oleh bekas murid dan persatuan ibu bapa dan guru.

Jurucakap kumpulan itu, Vernon Fernandez berkata, mereka dimaklumkan mengenai penutupan itu pada Sabtu oleh Timbalan Pengarah Pendidikan negeri Abdul Said Hussain.

Abdul Said memaklumkan, tapak di mana sekolah itu dibina diambil alih pemiliknya, Sri Avenue Sdn Bhd.

Sekolah yang kini terletak di Kampung Ujung Batu berhampiran sungai Perai itu berdepan masalah sejak 26 tahun lalu, selepas tapak asal sekolah di Jalan Assumption dijual kepada pemaju hartanah pada 1995.

Murid-murid menggunakan bilik darjah di SK Jalan Sungai Nyiur selama 13 tahun sehingga bangunan sedia ada dibina di tapak sekarang pada 2008, kata Fernandez.

Menurutnya, sekolah itu diasaskan pada 1933 oleh La Salle Brothers, anggota gereja Katolik, tetapi gereja melepaskan semua hak apabila sekolah itu dipindahkan pada 2008.

Beliau berkata, kumpulan itu dimaklumkan bahawa pemilik tanah membina premis sekolah sedia ada pada 2008 atas kefahaman bahawa Kementerian Pendidikan (KPM) akan membeli pembangunan itu. Bagaimanapun, KPM telah menolak tawaran untuk membelinya.

“Setakat ini, pasukan petugas bersama tidak berjaya mendapatkan mana-mana wakil pemilik tanah untuk mengesahkan dakwaan Abdul Said,” kata Fernandez.

Katanya, Abdul Said menyatakan bahawa lesen pendidikan sekolah itu akan dibatalkan apabila ia ditutup.

Fernandez berkata, pasukan petugas bersama akan melakukan apa yang mampu untuk memastikan kesejahteraan dan kebajikan murid-murid, dan agar mereka dapat menamatkan persekolahan tanpa gangguan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.